
KANGAR – Seorang pengikut Global Ikhwan Sdn. Bhd. Holding (GISBH) mendedahkan bahawa kumpulan itu menganggap mana-mana individu yang ingin bebas daripada gerakan tersebut sebagai musuh.
Difahamkan, terdapat antara 4,000 hingga 5,000 ahli jemaah GISBH di seluruh negara dan sesiapa yang keluar dari kumpulan itu juga dianggap sebagai musuh serta diburu, diugut, dan dikenakan pelbagai tindakan tidak wajar oleh gerakan berkenaan.
Seorang bekas pengikut kumpulan itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 33, berkata, dia mula menyertai GISBH sekitar tahun 2009 selepas diajak oleh abangnya.
“Saya mula menyertai GISBH dan ditempatkan di ibu pejabat GISBH di Country Homes, Rawang, Selangor selepas tamat persekolahan untuk menghasilkan hasil seni.
“Saya kemudiannya ditugaskan sebagai setiausaha kerja di Sarawak untuk menguruskan aktiviti rangkaian perniagaan kumpulan tersebut di sana,” kata pemuda dari Johor itu ketika ditemui di pejabat Perlis Centre of Wisdom, di sini, hari ini.
Ahmad menceritakan bahawa dia terlibat dalam pelbagai jenis perniagaan, termasuk restoran, pengilangan, dan bahagian media kumpulan itu di hampir seluruh negeri Sarawak.
“Saya bertugas di Sarawak dari tahun 2011 hingga 2020 sebelum dihantar ke Pulau Tioman, Pahang dan kemudian ke Endau, Mersing, Johor. Sewaktu di Sarawak, saya banyak memberi fokus kepada pengurusan perniagaan GISBH Sarawak.
“Kami bekerja tanpa gaji namun makanan dan tempat tinggal disediakan oleh pihak pengurusan. Terdapat asrama untuk lelaki dan perempuan, termasuk bagi mereka yang sudah berkahwin,” jelasnya.
Tambahnya lagi, Ahmad menyerahkan jiwa dan raga untuk GISBH, malah tidak menerima bayaran gaji walaupun dijanjikan akan dibayar pada peringkat awal.
Katanya, ketika itu, dia fana dengan syair dan nasyid kumpulan tersebut. Pada usia muda, Ahmad berfikir bahawa dia ingin berbakti kepada Islam dalam gerakan mereka serta sanggup berbelanja ribuan ringgit demi perjuangan itu.
Ceritanya lagi, detik hitam bermula apabila dia mula menyedari wujud penyelewengan dalam gerakan itu yang menyimpang dari ajaran Islam sebenar. Semasa berada di Endau, dia membuat keputusan untuk keluar bersama dua isterinya dan anak bongsu.
“Kisah hitam bermula apabila saya dihalang daripada berjumpa empat lagi anak hasil perkahwinan dengan isteri pertama. Mereka turut dilarikan ke lokasi yang tidak diketahui.
“Sepanjang tempoh itu, saya juga diugut oleh kumpulan tersebut. Namun, saya terus berjuang untuk bersatu kembali dengan keluarga dan berusaha mengesan keberadaan mereka.
“Selepas tiga tahun berjuang, akhirnya saya dapat bertemu semula dengan mereka selepas pihak berkuasa menemui mereka di sebuah rumah amal di Perak menerusi Op Global,” jelasnya.
Ahmad turut menjelaskan bahawa usaha untuk menghapuskan doktrin dalam minda pengikut GISBH mengambil masa yang lama.
Katanya, isterinya sendiri mengambil masa lebih dua tahun untuk pulih dan membiasakan diri dengan kehidupan normal setelah lama berada dalam jemaah.
“Saya sarankan kepada mereka di luar sana yang masih menganggap ekonomi GISBH ini hebat, cuba teliti dan nilai sendiri gerakan mereka kerana ramai yang telah tampil membongkar perkara tidak benar,” katanya.
Ahmad meluahkan rasa syukur kerana berasa sangat bebas setelah keluar daripada kumpulan itu dan kini lebih banyak meluangkan masa mengikuti kuliah di masjid serta surau.





