
AYER KEROH – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengetuai seramai 1,328 penerima Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena sambutan ulang tahun ke-77 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam, hari ini.
Fadhlina dianugerahkan Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Turut menerima DGSM ialah Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah; Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman; Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris serta Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Downstream PETRONAS, Datuk Seri Sazali Hamzah.
Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Seri Megat Zulkarnain Omardin, turut menerima darjah berkenaan.
Sementara itu, seramai 56 individu dianugerahkan Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira.
Antara penerima ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut yang juga Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Wira Mohd Sumali Reduan; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Wira M Kumar; Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Datuk Wira Dr Mohd Azhar Abd Hamid dan Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Dzulkhairi Mukhtar.
Seramai 14 penerima pula dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk, termasuk Timbalan Speaker Sabah, Datuk Al Hambra Juhar; Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Suria Kumar Durairaj Johnson Paul serta Panglima Divisyen Ketiga Infantri Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Sani S Omar.
Sebanyak 189 penerima menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang turut membawa gelaran Datuk.
Antara penerima ialah Pengarang Kumpulan Berita dan Ehwal Semasa Rangkaian TV Media Prima, Datuk Azhari Muhiddin; penyanyi kelahiran Merlimau, Datuk Siti Roziana Zain atau Ziana Zain serta Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail.
Selain itu, lima individu ditauliahkan sebagai Jaksa Pendamai (JP), manakala 106 penerima dianugerahkan Darjah Seri Melaka (DSM).
Bagi kategori bintang dan pingat pula, seramai 151 penerima menerima Bintang Cemerlang Melaka (BCM), 244 penerima Bintang Khidmat Terpuji (BKT), 386 penerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK), 161 penerima Pingat Bakti Masyarakat (PBM) dan lima penerima Pingat Khidmat Lama (PKL).
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh, berkata penganugerahan berkenaan mencerminkan penghargaan kerajaan negeri terhadap individu yang memberikan khidmat, sumbangan dan bakti dalam pelbagai bidang.
Katanya, penerima turut memainkan peranan penting dalam pembangunan serta kesejahteraan negeri.
“Pelaksanaan Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2026 diselaraskan bersama semua agensi berkaitan serta mematuhi prosedur dan tatacara yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran, keselamatan dan keselesaan penerima serta tetamu sepanjang istiadat berlangsung,” katanya.
Beliau berkata, istiadat penganugerahan berkenaan dilaksanakan dalam tiga sesi bermula hari ini, diikuti sesi kedua dan ketiga pada Rabu.





