
KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) dan Mobile eCOSS menunjukkan kesan positif apabila aduan mengenai kegiatan menyembunyikan stok minyak masak peket bersubsidi yang diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkurangan 66.15 peratus.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, perbandingan jumlah aduan bagi tempoh Januari hingga April tahun lalu dengan tempoh sama tahun ini menunjukkan penurunan dalam beberapa kategori berkaitan bekalan minyak masak peket bersubsidi.
Beliau berkata, selain aduan mengenai tindakan menyembunyikan stok, masalah ketiadaan atau kekurangan bekalan turut menunjukkan penurunan sebanyak 24.47 peratus.
Katanya, aduan berkaitan penjualan bersyarat pula berkurangan 6.19 peratus, manakala laporan mengenai keengganan peruncit menjual minyak masak peket bersubsidi turun 1.15 peratus.
“Saya tertarik membaca perkongsian seorang pengguna mengenai bekalan minyak masak peket bersubsidi. Katanya, kalau dahulu memang susah hendak mendapatkan minyak masak ini, sekarang pergi ke mana-mana pun, insya-Allah stok lebih mudah ditemui. Inilah reformasi yang kami mahu rakyat rasai.
“Bagi saya, ukuran kejayaan sesuatu dasar bukan sekadar pada sistem atau angka tetapi apabila rakyat sendiri mula merasakan bekalan lebih mudah diperoleh,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menurut Fuziah, penggunaan eCOSS membolehkan KPDN menelusuri dan memantau proses pengedaran minyak masak peket bersubsidi secara lebih menyeluruh, daripada peringkat rantaian bekalan sehingga sampai kepada pengguna.
Beliau berkata, kawalan pembelian turut diperkukuh menerusi aplikasi Mobile eCOSS yang menggunakan teknologi eKYC dan MyDigital ID bagi tujuan pengesahan identiti.
Katanya, langkah itu dilaksanakan susulan keputusan menghadkan pembelian minyak masak peket bersubsidi kepada warganegara Malaysia mulai 1 Mac lalu.
Sehingga 3 Julai, lebih 5.2 juta rakyat Malaysia telah mendaftar untuk menggunakan aplikasi Mobile eCOSS.
Dalam hantaran sama, Fuziah turut memuat naik maklum balas pengguna mengenai pelaksanaan eCOSS yang diterima menerusi akaun Norza Syajheha Zamri.
Pengguna berkenaan menyifatkan aplikasi itu membantu memudahkan urusan orang ramai mendapatkan minyak masak peket bersubsidi berbanding keadaan sebelum ini.





