Ringgit meningkat hari ini di tengah-tengah ketegangan Asia Barat

KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat mendapat sokongan menjelang pengumuman data senarai gaji bukan ladang (NFP) AS lewat hari ini.

Pada 8 pagi, unit tempatan berada pada 4.2160/2240 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.2185/2250 pada Khamis.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, laporan NFP pada Jumaat akan mengubah tinjauan terhadap ringgit, daripada sentimen negatif kepada positif.

Beliau berkata, ura-ura pasaran membayangkan angka NFP yang rendah dijangka dapat memberi sokongan yang amat diperlukan untuk meningkatkan ringgit.

“Bagaimanapun, laporan yang lebih kukuh daripada jangkaan boleh mendorong hasil AS lebih tinggi, mencetuskan semula kebimbangan inflasi dan menyebabkan ringgit boleh terus menurun,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata Indeks Dolar AS meningkat kepada 101.980 mata apabila ketegangan di Asia Barat semakin meruncing.

Serangan terbaharu Israel ke atas Beirut telah menyebabkan harga minyak mentah Brent melonjak kepada AS$77.62 setong yang seterusnya mencetuskan kebimbangan kemungkinan berlaku gangguan terhadap bekalan minyak global.

Beliau berkata, konflik tersebut telah menyebabkan peniaga beralih kepada mata wang selamat iaitu dolar AS.

“Selain itu, data ekonomi AS yang positif yang membayangkan kemungkinan pelonggaran dasar monetari Rizab Persekutuan (Fed) secara beransur-ansur telah mengukuhkan lagi nilai dolar.

“Dengan ringgit telahpun berada dalam zon terlebih beli, unit tempatan dijangka terus melemah. Dolar AS/Ringgit menembusi paras rintangannya pada RM4.2128, dengan rintangan baharu kini pada RM4.3259,” kata Mohd Afzanizam, lapor Bernama.

Ringgit meningkat berbanding euro kepada 4.6524/6612 daripada 4.6555/6627 pada Khamis, naik sedikit berbanding yen Jepun kepada 2.8710/8766 daripada 2.8711/8757 tetapi turun berbanding pound Britain kepada 5.5348/5453 daripada 5.5330/5415.

Sementara itu, unit tempatan mencatatkan prestasi bercampur-campur berbanding mata wang negara Asean lain.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2511/2575 daripada 3.2523/2575 dan meningkat berbanding baht Thai kepad 12.7233/7582 daripada 12.7270/7520.

Bagaimanapun unit tempatan hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 273.2/273.8 daripada 273.4/273.9 dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.48/7.50.

Related Posts

Pengeluar komponen automotif perlu teroka teknologi robot humanoid

KUALA LUMPUR – Pengeluar komponen automotif tempatan, terutama pengilang bahagian kritikal, digesa meneroka peluang dalam teknologi robot humanoid sebagai langkah seterusnya untuk meningkatkan keupayaan industri ke tahap lebih tinggi. Timbalan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
PMX dijangka ambil kira pahit getir ditanggung M40 menerusi Belanjawan 2027

PUTRAJAYA – Golongan M40 dijangka mempengaruhi keutamaan perbelanjaan kerajaan dalam Belanjawan 2027 pada Oktober depan, dalam membantu golongan itu yang semakin terhimpit dengan kos sara hidup bandar, komitmen hutang serta…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

RCI Tabung Haji: Hormati titah YDPA, jangan cipta persepsi

RCI Tabung Haji: Hormati titah YDPA, jangan cipta persepsi

Wisma Putra terima laporan 11 rakyat Malaysia terputus hubungan di Nepal

Wisma Putra terima laporan 11 rakyat Malaysia terputus hubungan di Nepal

Peniaga Dataran Kampung Wai kecewa dakwa terima notis roboh gerai

Peniaga Dataran Kampung Wai kecewa dakwa terima notis roboh gerai

Pengeluar komponen automotif perlu teroka teknologi robot humanoid

Pengeluar komponen automotif perlu teroka teknologi robot humanoid

JKDM Sabah gagalkan sembilan cubaan seludup minuman keras bernilai RM4.15 juta

JKDM Sabah gagalkan sembilan cubaan seludup minuman keras bernilai RM4.15 juta

Pelajar cemerlang UIAM perlu RM20,000 untuk visa, sambung pengajian ke UK

  • By Fatin
  • August 26, 2026
Pelajar cemerlang UIAM perlu RM20,000 untuk visa, sambung pengajian ke UK