Hannah Yeoh
KUALA LUMPUR – Projek pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung membabitkan perbelanjaan RM55 juta di seluruh ibu negara akan bermula Januari depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, projek berkenaan akan dilaksanakan menerusi peruntukan perbelanjaan mengurus Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan pembinaan laluan sepanjang 22 kilometer.
“Di bawah peruntukan mengurus DBKL, sebanyak 22 kilometer laluan pejalan kaki akan dibina di kawasan Parlimen di Kuala Lumpur, dengan pembahagian dua kilometer bagi setiap kawasan Parlimen.
“Projek ini membabitkan peruntukan RM55 juta dan dijangka siap pada suku ketiga tahun depan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat, semalam.
Menurut Hannah, pelaksanaan projek baharu itu susulan kejayaan projek terdahulu yang dilaksanakan sejak 2023 hingga kini, membabitkan 29 lokasi dengan keseluruhan laluan sepanjang 4.35 kilometer.
Katanya, pembinaan laluan berkenaan bertujuan menghubungkan kawasan perumahan dengan kemudahan awam, pusat komersial, perhentian bas, klinik kesihatan dan rumah ibadat bagi menambah baik kemudahan pergerakan pejalan kaki di kawasan bandar.
“DBKL juga akan membina tambahan 20 kilometer laluan pejalan kaki berbumbung di kawasan pusat bandar bagi menghubungkan sistem pengangkutan awam dengan pelbagai destinasi, termasuk pusat komersial, kompleks pejabat serta kemudahan taman seperti Taman Botani dan Taman Tasik Titiwangsa,” katanya.


