
KANOWIT – Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ngemah menafikan dakwaan bahawa penyandang kerusi berkenaan, Anyi Jana bakal bertanding atas tiket Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Penafian itu dibuat susulan penyebaran poster yang dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI) di media sosial, yang mengaitkan Anyi dengan pencalonan parti berkenaan.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Ahad, pusat khidmat itu menegaskan bahawa dakwaan berkenaan tidak benar dan tidak berasas.
Sebaliknya, Anyi yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Rakyat Sarawak (PRS) masih berminat untuk meneruskan khidmat kepada rakyat serta mempertimbangkan pencalonan semula di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Menurut kenyataan itu, penyebaran poster dan maklumat yang tidak disahkan boleh menimbulkan kekeliruan serta persepsi tidak tepat dalam kalangan masyarakat.
“Pencalonan bukanlah sesuatu perkara yang boleh dipermainkan melalui khabar angin, andaian atau maklumat yang belum disahkan.
“Keputusan rasmi berhubung pencalonan tertakluk kepada pengumuman dan keputusan kepimpinan parti masing-masing,” menurut kenyataan itu seperti dilaporkan Utusan Borneo.
Sehubungan itu, pihak berkenaan turut menggesa orang ramai supaya menghentikan penyebaran spekulasi yang boleh mengelirukan masyarakat menjelang pilihan raya negeri.
Sementara itu, PRS Bahagian Ngemah menyatakan kesediaan mengambil tindakan melalui saluran berkaitan bagi menangani penyebaran maklumat tidak tepat.
Terdahulu, PRS Bahagian Ngemah pada 6 Oktober lalu sebulat suara menyokong supaya Anyi dikekalkan sebagai calon GPS-PRS bagi kerusi DUN Ngemah pada PRN Sarawak ke-13.
Keputusan itu merupakan antara resolusi yang diluluskan pada Mesyuarat Agung Tahunan PRS Bahagian Ngemah 2026.
Pada PRN Sarawak 2021, Anyi memenangi kerusi DUN Ngemah dengan majoriti 261 undi selepas memperoleh 3,193 undi dalam pertandingan lima penjuru.


