
PUTRAJAYA – Selepas tiga tahun setengah menerajui Kerajaan Perpaduan, sudah tiba masanya pencapaian pentadbiran dinilai bagi menentukan hala tuju kerajaan seterusnya, kata Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo.
Beliau berkata, penilaian itu penting bagi melihat sejauh mana agenda pembaharuan yang dilaksanakan setakat ini mencapai matlamat, selain mengenal pasti langkah yang masih perlu diberi perhatian.
“Selepas tiga tahun setengah, ada keperluan untuk kita semua menimbang kejayaan atau kelemahan yang kita telah lalui pada masa lalu.
“Hari ini, kita ada satu tanggungjawab iaitu untuk kita membuat keputusan berkaitan dengan jejak kita,” katanya ketika berucap pada Persidangan Kebangsaan DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Gobind berkata, Kerajaan Perpaduan dibentuk daripada gabungan parti yang mempunyai manifesto serta cadangan masing-masing, justeru tumpuan perlu diberikan kepada perkara yang boleh dipersetujui bersama untuk dilaksanakan.
Menurutnya, kestabilan politik antara pencapaian penting Kerajaan Perpaduan kerana ia membolehkan kerajaan bergerak ke hadapan dan meningkatkan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa.
Bagaimanapun, beliau mengakui masih terdapat pelbagai isu yang perlu ditangani dan usaha pembaharuan perlu diteruskan.
“Kita perlu melihat apa yang telah kita capai dan apa yang masih perlu dilakukan. Masih banyak langkah yang perlu diambil dalam meneruskan agenda pembaharuan,” katanya.







