
IPOH – Tiga lelaki tempatan ditahan selepas polis membongkar sindiket yang dipercayai menyediakan rangkaian komunikasi sebagai ‘call gateway’ bagi membantu kegiatan penipuan dalam talian yang dipercayai dikendalikan dari luar negara.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, sindiket itu terbongkar susulan laporan seorang lelaki berusia 22 tahun yang menjadi mangsa penipuan pada 1 Ogos lalu selepas menerima panggilan daripada individu menyamar sebagai wakil syarikat penghantaran sebelum menyamar pula sebagai penguat kuasa.
Menurutnya, mangsa pada mulanya dimaklumkan kononnya terdapat kiriman bungkusan mengandungi barangan terlarang menggunakan namanya, sebelum panggilan itu disambungkan kepada suspek lain yang mendakwa mangsa terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram.
“Mangsa yang takut ditangkap dan didakwa kemudian mengikut segala arahan sindiket dengan memindahkan wang tunai berjumlah RM8,999 ke beberapa akaun.
“Mangsa turut diarahkan meletakkan barang kemas termasuk rantai, cincin, subang dan gelang emas bernilai kira-kira RM20,000 di atas tembok rumahnya di Kampar dengan alasan ia akan diserahkan semula selepas siasatan selesai,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Bagaimanapun, wang tunai dan barang kemas berkenaan tidak dikembalikan menyebabkan mangsa tampil membuat laporan polis.
Susulan laporan itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar menjalankan risikan dan menjejaki anggota sindiket sebelum menyerbu lima lokasi di Petaling Jaya, Kelana Jaya, Hulu Kelang dan Damansara, Kuala Lumpur pada 13 Ogos lalu.
Operasi berkenaan membawa kepada penahanan tiga lelaki tempatan berusia antara 32 hingga 45 tahun.
Polis turut merampas lapan unit Simbox, 11 unit Starlink, 509 keping kad SIM, sebuah komputer riba, dua router dan lima telefon bimbit.

Mohd Alwi berkata, peralatan komunikasi yang dirampas dipercayai digunakan sebagai ‘call gateway’ bagi menguruskan laluan aliran komunikasi sindiket penipuan dalam talian yang dipercayai beroperasi dari luar negara.
“Peranti komunikasi yang dirampas ini dipercayai digunakan sindiket bagi menyukarkan pihak penguat kuasa menjejak panggilan yang dibuat oleh sindiket penipuan dalam talian berkenaan,” katanya.
Kesemua suspek direman selama 14 hari bermula 14 hingga 27 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih 10 tahun.
Dalam pada itu, Mohd Alwi menasihatkan orang ramai supaya tidak membantu rangkaian sindiket penipuan dalam talian, termasuk menyewakan premis kediaman atau membekalkan peralatan komunikasi yang boleh digunakan bagi menjalankan kegiatan berkenaan.
“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti sindiket penipuan dalam talian ini kepada mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak media atas kerjasama berterusan dalam menyampaikan maklumat dan hebahan kepada masyarakat.
Foto: Polis Perak








