Aminuddin terima tuntutan enam cabang, sedia bertanggungjawab kekalahan PKR Negeri Sembilan

AYER KEROH – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Aminuddin Harun, menerima tuntutan enam Ketua Cabang PKR di Negeri Sembilan supaya beliau mengambil tanggungjawab terhadap kekalahan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Aminuddin berkata, sebagai pemimpin yang mengetuai PKR Negeri Sembilan, beliau bersedia memikul tanggungjawab berkenaan secara terbuka tanpa menuding jari kepada mana-mana pihak.

“Saya mengambil maklum tuntutan enam Ketua Cabang Negeri Sembilan yang mahu saya mengambil tanggungjawab terhadap kekalahan kita. Saya ingin menyatakan dengan terbuka bahawa saya bersetuju dengan tuntutan tersebut.

“Ya, saya menerima tanggungjawab itu. Saya memimpin, maka saya bersedia untuk bertanggungjawab. Saya tidak mahu lari daripada tanggungjawab dan saya tidak mahu menuding jari kepada sesiapa,” katanya ketika sesi penggulungan hari kedua Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Beliau berkata, keputusan PRN berkenaan perlu diterima dengan hati terbuka kerana ia merupakan terjemahan suara rakyat terhadap parti.

Menurutnya, PKR tidak seharusnya menyalahkan rakyat atau menganggap mereka tidak memahami keadaan politik apabila membuat pilihan yang tidak memihak kepada parti.

“Kalau rakyat menolak kita, persoalannya bukan mengapa rakyat tidak memilih kita. Persoalannya ialah apa yang menyebabkan rakyat tidak memilih kita.

“Itulah soalan yang mesti kita jawab dengan jujur, bukan untuk mencari kambing hitam, tetapi untuk mencari jalan keluar,” katanya.
Aminuddin turut mengakui terdapat kelemahan dalam kepimpinan, strategi dan keputusan yang dibuat sepanjang beliau memikul amanah mengetuai PKR Negeri Sembilan.

Beliau berkata, segala kekurangan itu menjadi asas untuk parti melakukan penilaian dan pembinaan semula, termasuk dari segi organisasi, strategi serta jentera.

“Saya memohon ampun dan maaf kepada seluruh anggota PKR Negeri Sembilan atas segala kekurangan dan kelemahan sepanjang saya memikul amanah ini.

“Saya juga mengambil maklum bahawa apa sahaja keputusan yang akan dibuat oleh pimpinan PKR terhadap diri saya, saya bersedia menerimanya. Jawatan bukan milik saya. Amanah adalah milik parti,” katanya.

Bagaimanapun, Aminuddin menegaskan kekalahan pada PRN tidak seharusnya menjadi alasan untuk beliau atau anggota parti berhenti berjuang.

Sebaliknya, katanya, keputusan itu perlu dijadikan titik permulaan untuk membina semula kekuatan PKR Negeri Sembilan dengan kembali mendekati akar umbi dan memperkemaskan jentera parti.

Beliau berkata, PKR juga tidak boleh hanya hadir ketika pilihan raya, sebaliknya perlu bersama rakyat sepanjang masa, terutama ketika berdepan tekanan kos sara hidup dan cabaran kehidupan.

“Kita mungkin kalah dalam satu pilihan raya, tetapi jangan kita kalah dalam perjuangan. Kita mungkin kehilangan beberapa kerusi, tetapi jangan kita kehilangan prinsip.

“Kita mungkin dikritik, tetapi jangan kita kehilangan arah. Kita mungkin melakukan kesilapan, tetapi jangan kita takut untuk memperbaikinya,” katanya.

Aminuddin berkata, kestabilan yang dicapai ketika ini bukan destinasi terakhir, sebaliknya perlu dijadikan asas untuk kerajaan melaksanakan perubahan yang dituntut rakyat.

Sehubungan itu, beliau berkata PKR perlu membantu Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mempercepatkan agenda Reformasi serta memastikan mesej perjuangan berkenaan sampai kepada rakyat.

“Reformasi bukan perjuangan orang yang tidak pernah jatuh. Reformasi adalah perjuangan orang yang jatuh, bangun semula, belajar daripada kesilapan dan terus berjalan.

“Itulah sejarah Anwar Ibrahim. Itulah sejarah PKR dan itulah yang mesti menjadi masa depan kita,” katanya.

Related Posts

Netizen bangga PMX tidak ‘termakan’ soalan provokasi isu Gaza, Israel

KETEGASAN dan ketenangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan berkaitan konflik Gaza, Israel dan Iran dalam satu wawancara bersama stesen televisyen India, Thanti TV baru-baru ini mendapat…

Lebih lanjut

teruskan membaca
PRU16: Demi rakyat atau elak lebih ramai pemimpin UMNO didakwa rasuah?

PUTRAJAYA – Langkah UMNO supaya Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) disegerakan perlu dipersoalkan sama ada benar-benar berlandaskan kehendak rakyat atau mempunyai motif tertentu. Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Muhammad…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Tiada kompromi, sindiket e-PLKS palsu diburu hingga tumpas – Saifuddin

Tiada kompromi, sindiket e-PLKS palsu diburu hingga tumpas – Saifuddin

AI Talks Edisi Ke-2 perkasa literasi digital komuniti sempena Hari Malaysia

AI Talks Edisi Ke-2 perkasa literasi digital komuniti sempena Hari Malaysia

Pelaksanaan MA63 terus diperkasa sebagai agenda nasional – Mustapha

  • By Ezmie
  • September 16, 2026
Pelaksanaan MA63 terus diperkasa sebagai agenda nasional – Mustapha

Netizen bangga PMX tidak ‘termakan’ soalan provokasi isu Gaza, Israel

Netizen bangga PMX tidak ‘termakan’ soalan provokasi isu Gaza, Israel

PRU16: Demi rakyat atau elak lebih ramai pemimpin UMNO didakwa rasuah?

PRU16: Demi rakyat atau elak lebih ramai pemimpin UMNO didakwa rasuah?

Lima ditahan ganggu tugas penguat kuasa di Tasek Bera

Lima ditahan ganggu tugas penguat kuasa di Tasek Bera