
AYER KEROH – Keputusan kerajaan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dilihat sebagai perkembangan penting dalam usaha memperluas kebebasan serta penyertaan mahasiswa dalam kehidupan kampus dan masyarakat.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, langkah itu mencerminkan pengiktirafan terhadap mahasiswa sebagai kelompok yang mampu berfikir secara matang serta menyumbang pandangan dalam isu berkaitan negara.
“Mahasiswa mempunyai hak untuk berfikir, bersuara dan berorganisasi kerana sejarah gerakan mahasiswa negara tidak pernah terpisah daripada denyut perubahan masyarakat.
“Sejak kebangkitan mahasiswa pada penghujung 1960-an dan awal 1970-an, termasuk perjuangan mengangkat isu kemiskinan, ketidakadilan sosial dan nasib rakyat marhaen, mahasiswa sudah membuktikan bahawa mereka bukan sekadar penghuni dewan kuliah, sebaliknya sebahagian daripada hati nurani masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Kamil berkata, sejarah gerakan mahasiswa turut memperlihatkan bagaimana kebebasan mereka dalam kegiatan kampus dan wacana awam semakin terhad berikutan pelaksanaan AUKU serta pelbagai bentuk sekatan.
Katanya, perubahan itu seharusnya menjadi titik tolak untuk menjadikan institusi pengajian tinggi sebagai ruang yang lebih terbuka kepada perbahasan, pertukaran idea dan perbezaan pandangan.
“Keputusan Kerajaan MADANI untuk bergerak ke arah pemansuhan AUKU harus dilihat dalam konteks sejarah perjuangan yang panjang ini.
“Ia mengiktiraf bahawa mahasiswa tidak harus dibentuk melalui budaya takut dan kawalan berlebihan. Mahasiswa mesti diberikan kepercayaan untuk berfikir, berdebat, berbeza pandangan, mengkritik dan menawarkan penyelesaian kepada negara,” katanya.
Beliau berkata, kebebasan yang diberikan kepada mahasiswa perlu bergerak seiring dengan tanggungjawab serta kematangan dalam menguruskan perbezaan pandangan.
Menurutnya, pemansuhan AUKU juga wajar disusuli pembaharuan lebih menyeluruh dalam sektor pendidikan tinggi, khususnya berkaitan autonomi universiti, kebebasan akademik, hak berpersatuan dan kebebasan bersuara.
Pada masa sama, katanya, mahasiswa perlu diberikan kepercayaan untuk menentukan hala tuju gerakan mereka sendiri.
“Reformasi tidak selesai dengan satu pengumuman dan tidak terhenti dengan satu akta, sebaliknya masih banyak pembaharuan yang perlu digerakkan dan mahasiswa mesti menjadi antara tenaga terpenting yang mengawal, mendesak serta bersama-sama menjayakannya.
“Anak muda digesa supaya melihat perkembangan itu sebagai bukti bahawa agenda reformasi memerlukan keberanian politik, kesabaran dan sokongan untuk diterjemahkan kepada perubahan sebenar.
“Sehubungan itu, Kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar perlu terus diberikan ruang dan dukungan untuk meneruskan agenda reformasi institusi yang sudah lama diperjuangkan,” katanya.






