
AYER KEROH – Hentikan pendekatan berkompromi dengan bekas musuh politik atas alasan kestabilan, sebaliknya tumpukan pelaksanaan agenda reformasi yang masih dituntut rakyat, ujar Angkatan Muda Keadilan (AMK).
Naib Ketua AMK, Nabil Halimi berkata, pihak yang sebelum ini menjadi lawan politik dan kini cuba dianggap sebagai rakan telah menunjukkan sikap sebenar apabila kepentingan kuasa mengatasi segala-galanya.
“Mereka sanggup menikam kita dari belakang, tidur berselimut dan ‘gila talak’ dengan Perikatan Nasional (PN) yang selama ini menyesatkan kita serta menuduh kita sebagai pengkhianat bangsa.
“Untuk apa kita fikirkan soal kestabilan dengan mereka lagi, untuk apa kita berkompromi?” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kongres Nasional AMK 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Sehubungan itu, Nabil berkata, baki tempoh mandat kerajaan perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi mempercepat pelaksanaan reformasi institusi yang menjadi tuntutan rakyat.
Antara perkara yang perlu diberi keutamaan, katanya, termasuk pemisahan jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, had tempoh Perdana Menteri kepada dua penggal, penggubalan Akta Pendanaan Politik serta reformasi Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
“AMK tidak boleh sekadar menjadi pemerhati, sebaliknya perlu menjadi penggerak yang mendesak, mengawal dan memastikan agenda reformasi dilaksanakan.
“Kalau ada pihak yang menghalang atau mahu menggagalkan undian di Parlimen, biarkan rakyat melihat siapa yang benar-benar mahu reformasi dan siapa yang menjadi penghalang,” katanya.
Dalam pada itu, Nabil berkata, AMK bertekad memperbaiki kelemahan dalam parti, kembali mendekati rakyat serta memulihkan keyakinan mereka terhadap PKR bagi memastikan agenda reformasi dapat diteruskan.
“Kita di sini untuk membinanya semula, kita baiki apa yang rosak. Kita dengar semula rakyat dan kita pulihkan keyakinan mereka kepada parti kita,” katanya.
Nabil berkata, matlamat AMK adalah memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mendapat mandat sebagai Perdana Menteri bagi penggal kedua supaya pemulihan ekonomi, agenda reformasi dan perubahan yang telah dimulakan dapat diteruskan.



