RCI Tabung Haji: Segerakan pendakwaan jika bukti cukup – Haniff

TINDAKAN tegas termasuk pendakwaan terhadap pihak yang didapati melakukan kesalahan berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) perlu diambil sebaik sahaja bukti mencukupi diperoleh, kata peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Beliau berkata, tindakan tegas tanpa mengira kedudukan individu terbabit penting bagi memastikan syor Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH diterjemahkan kepada tindakan undang-undang sewajarnya, sekali gus memulihkan keyakinan pendeposit terhadap institusi itu.

“Apabila telah selesai mana-mana siasatan dan kalau ada keputusan rasmi serta cukup keterangan, maka untuk menambahkan keyakinan rakyat dan membuat syor RCI itu jadi zahir, tindakan jenayah perlu diambil serta-merta tanpa mengira siapakah individu berkenaan.

“Itu yang rakyat nak tengok. Lagi awal kita boleh selesaikan perkara ini dan bawa ke mahkamah kalau ada bukti-bukti yang cukup, rakyat akan bertambah yakin,” katanya.

Mohamed Haniff Khatri yang pernah terlibat dalam prosiding RCI berkata, bagaimanapun tindakan pendakwaan terhadap sesuatu kes tidak bermakna keseluruhan siasatan berkaitan laporan RCI berkenaan telah selesai.

Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan dan pihak berkuasa perlu memberikan penjelasan secara berperingkat bagi memastikan rakyat memahami bahawa tindakan pendakwaan dibuat berdasarkan bahagian siasatan yang telah lengkap dan mempunyai bukti mencukupi, manakala siasatan terhadap perkara lain masih berjalan.

“Perlu diberitahu bahawa siasatan jenayah berkaitan laporan RCI belum tamat. Ada banyak lagi siasatan sedang dijalankan. Jadi kena pandai susun atur pemahaman orang supaya mereka tidak anggap dua tahun lagi bila bawa orang lain ke mahkamah, ia disebabkan perubahan kerajaan.

“Kena buat kenyataan satu demi satu supaya rakyat faham bahawa tindakan itu adalah berdasarkan hasil siasatan dan bukti yang diperoleh,” katanya.

Peguam yang banyak mengendalikan kes jenayah dan sivil itu berkata siasatan berhubung laporan RCI itu juga dijangka mengambil masa kerana pelbagai aspek perlu diteliti secara menyeluruh, termasuk persoalan tadbir urus TH, urusan pelaburan serta kemungkinan pelanggaran undang-undang.

Beliau berkata, kesemua aspek berkenaan perlu disiasat oleh pihak berkuasa berkaitan, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bagi menentukan sama ada wujud kesalahan yang memerlukan tindakan undang-undang.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diterimanya, hampir 200 individu telah dipanggil untuk memberikan keterangan oleh PDRM dan SPRM secara berasingan.

“Siasatan jenayah bukan boleh mula hari ini, tamat esok. Jadi rakyat kena bersabar. Saya nampak perkara ini mungkin akan berlanjutan sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan lagi,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Haniff Khatri mencadangkan supaya Jabatan Peguam Negara menubuhkan satu unit khas bagi menyelia semua kertas siasatan berkaitan RCI TH yang dikemukakan PDRM dan SPRM.

Beliau mencadangkan unit kecil itu dianggotai tiga Timbalan Pendakwa Raya (TPR) yang mempunyai pengalaman dalam kes SPRM dan jenayah biasa bagi memastikan semua kertas siasatan dinilai secara bersepadu.

“Mekanisme itu dapat menjadikan siasatan lebih efisien memandangkan RCI TH melibatkan dua agensi penguat kuasa dengan saluran pengendalian kertas siasatan yang berbeza,” katanya.

Pandangan Mohamed Haniff Khatri itu turut disokong bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Md Sam yang menegaskan bahawa dapatan RCI tidak boleh dengan sendirinya dijadikan asas pendakwaan, sebaliknya agensi penguatkuasaan perlu menjalankan siasatan lanjut bagi mengumpul keterangan dan bukti yang boleh dikemukakan di mahkamah.

Yaacob, yang pernah terlibat secara langsung sebagai pegawai pengendali dan setiausaha beberapa RCI termasuk RCI Jeti Pelantar Runtuh di Pengkalan Feri Sultan Abdul Halim, Butterworth berkata, laporan RCI tidak mengikat dari segi undang-undang dan tidak boleh dijadikan keterangan di mahkamah bagi kes jenayah atau sivil seperti diperuntukkan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.

“RCI hanya menjalankan siasatan mengikut terma rujukan yang diberikan kerajaan dan membuat dapatan serta syor untuk tindakan selanjutnya.

“Oleh itu, pihak berkuasa dan penguat kuasa undang-undang perlu menyiasat semula dengan terperinci semua keterangan jika terdapat apa-apa kesalahan jenayah dilakukan oleh mana-mana pihak yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata, hanya keterangan yang dikumpul agensi penguatkuasaan melalui siasatan mereka boleh dikemukakan sebagai keterangan dan bukti di mahkamah.

Related Posts

Prestasi luar jangka KDNK 6.0 peratus bukti reformasi ekonomi berkesan

PUTRAJAYA – Prestasi luar jangka keluaran dalam negeri kasar (KDNK) sebanyak 6.0 peratus pada suku kedua tahun 2026 (S2 2026) mempamerkan reformasi kerajaan di bawah kerangka Ekonomi MADANI telah membantu…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Ahli PKR sertai Bersama tidak jejas kekuatan parti – AMK

AYER KEROH – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menegaskan tindakan segelintir ahli PKR meninggalkan parti untuk menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama) tidak menjejaskan kestabilan organisasi atau perjalanan parti itu. Ketua AMK,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Prestasi luar jangka KDNK 6.0 peratus bukti reformasi ekonomi berkesan

Prestasi luar jangka KDNK 6.0 peratus bukti reformasi ekonomi berkesan

Teliti bantuan khas, skim sokongan guru luar bandar dan pulau

  • By Fatin
  • August 14, 2026
Teliti bantuan khas, skim sokongan guru luar bandar dan pulau

300 pelajar Pahang ke luar negara terima RM1,000

300 pelajar Pahang ke luar negara terima RM1,000

RCI Tabung Haji: Segerakan pendakwaan jika bukti cukup – Haniff

RCI Tabung Haji: Segerakan pendakwaan jika bukti cukup – Haniff

Karnival Agrikomuniti MADANI sedia platform bantu tingkat pendapatan pekebun kecil

Karnival Agrikomuniti MADANI sedia platform bantu tingkat pendapatan pekebun kecil

Ahli PKR sertai Bersama tidak jejas kekuatan parti – AMK

Ahli PKR sertai Bersama tidak jejas kekuatan parti – AMK