
LAPORAN Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH) tidak seharusnya dianggap sebagai noktah, sebaliknya sebarang persoalan yang masih belum terjawab perlu disusuli siasatan lanjut.
Penganalisis ekonomi, Prof Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, keperluan menubuhkan RCI baharu dan keperluan menjalankan siasatan lanjut adalah dua perkara berbeza yang perlu dilihat secara berasingan.
Beliau berkata, belum ada keperluan untuk tergesa-gesa menubuhkan RCI baharu memandangkan laporan RCI sedia ada sudah meneliti pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 serta mengemukakan 25 cadangan pembaharuan.
“RCI bukan noktah kepada semua persoalan. Laporan itu sendiri mencadangkan audit forensik terhadap 13 pelaburan bermasalah dan tindakan tegas terhadap laporan atau aduan berkaitan salah laku.
“Justeru, apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan baharu, ia tidak semestinya bermaksud RCI gagal atau perlu diulang,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press (TMP), hari ini.
Menurut Barjoyai, RCI berperanan mencari fakta dan mengemukakan cadangan pembaharuan, manakala SPRM mempunyai mandat untuk menentukan sama ada wujud unsur rasuah atau kesalahan yang boleh diambil tindakan mengikut undang-undang.
Katanya, kerajaan tidak wajar menggunakan alasan bahawa proses RCI sudah selesai bagi menutup ruang kepada siasatan terhadap penemuan atau persoalan baharu.
“Jika siasatan SPRM menemui fakta baharu yang tidak termasuk dalam terma rujukan RCI, melibatkan tempoh selepas 2020 atau menunjukkan pola kelemahan yang lebih luas, kerajaan perlu mempertimbangkan mekanisme penyiasatan tambahan.
“Ia boleh berupa audit forensik bebas, jawatankuasa siasatan khas atau, jika skopnya besar dan melibatkan kepentingan awam, RCI baharu,” katanya.
Dalam pada itu, Barjoyai berkata, pembaharuan tadbir urus TH perlu menjadi keutamaan bagi memastikan kelemahan yang dikenal pasti tidak berulang.

Beliau berkata, jaminan paling kukuh bukan bergantung kepada siapa yang dilantik sebagai pengerusi atau ketua pegawai eksekutif TH, tetapi sistem yang mampu mengehadkan ruang penyalahgunaan kuasa.
“Kita perlu beralih daripada tadbir urus yang bergantung kepada individu kepada tadbir urus yang kukuh dari segi sistem.
“Laporan RCI sendiri menunjukkan beberapa kelemahan struktur, termasuk kuasa menteri yang luas, kriteria pelantikan lembaga yang tidak cukup khusus, penglibatan politik, pertindihan jawatan dan potensi konflik kepentingan,” katanya.
Beliau berkata, pelantikan ahli lembaga perlu dibuat berdasarkan kepakaran dan pengalaman dalam bidang kewangan, pelaburan, pengurusan risiko, perakaunan dan syariah.
Katanya, kuasa politik juga perlu dipisahkan daripada keputusan pelaburan supaya setiap keputusan dibuat oleh panel profesional berdasarkan dasar pelaburan, tahap risiko dan kepentingan pendeposit.
“Setiap pelaburan besar mesti mempunyai rekod jejak audit yang jelas. Kita perlu tahu siapa yang mencadangkan, siapa membuat keputusan, apakah analisis risiko yang dibuat, siapa yang mempunyai kepentingan dan siapa yang bertanggungjawab jika pelaburan gagal.
“Jika lima persoalan ini tidak dapat dijawab melalui dokumen yang lengkap, sistem tadbir urus kita masih mempunyai kelemahan,” katanya.
Barjoyai berkata, kawalan risiko perlu diberi keutamaan berbanding usaha mengejar pulangan tinggi kerana perlindungan modal pendeposit merupakan asas penting dalam pengurusan dana TH.
Beliau turut menegaskan kepentingan pengawasan luar yang bebas, termasuk pelaksanaan cadangan RCI supaya pengurusan dana haji mempunyai struktur khusus serta tertakluk kepada kawal selia yang lebih profesional.
“Pendeposit tidak memerlukan jaminan semua pelaburan akan untung kerana perkara itu mustahil.
“Mereka memerlukan jaminan bahawa setiap ringgit diurus secara profesional, telus, bebas daripada campur tangan politik, mempunyai kawalan risiko yang ketat dan akauntabiliti yang jelas apabila berlaku kesilapan,” katanya.
Beliau berkata, laporan RCI perlu dilihat sebagai asas untuk memperbaiki sistem pengurusan dan tadbir urus TH, bukannya sekadar dokumen untuk menamatkan perbahasan mengenai isu berkenaan.
“RCI memberikan diagnosis, SPRM dan audit forensik menentukan sama ada wujud pelanggaran undang-undang atau salah laku, manakala kerajaan perlu memastikan cadangan pembaharuan diterjemahkan kepada sistem tadbir urus yang berkekalan.
“Ukuran sebenar bukan sama ada perlu RCI baharu atau tidak, tetapi sama ada semua persoalan material sudah dijawab. Jika belum, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan ia dijawab,” katanya.
Laporan RCI yang meneliti pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 mengemukakan 25 syor pembaharuan, antaranya berkaitan penambahbaikan tadbir urus, pengasingan fungsi pengurusan haji dan dana serta pelaksanaan audit forensik terhadap sejumlah pelaburan bermasalah.
Susulan pendedahan laporan berkenaan kepada umum, SPRM turut menubuhkan pasukan khas bagi meneliti dapatan RCI, termasuk kemungkinan berlakunya rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa dan kesalahan lain.





