
IPOH – Penemuan pelbagai jenis dadah di lokap Balai Polis Lumut, membawa kepada penahanan seorang anggota polis berpangkat konstabel bagi membantu siasatan, pada Selasa lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, anggota berusia 30-an itu ditahan susulan pemeriksaan yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung kira-kira jam 8.30 pagi.
Menurutnya, pemeriksaan berkenaan turut membawa kepada penahanan dua lelaki berusia lingkungan 40-an yang merupakan orang kena tuduh (OKT), selain menemukan sejumlah dadah disyaki methamphetamine, heroin dan kanabis.
“Rampasan membabitkan 16 bunjut tiub plastik mengandungi bahan disyaki methamphetamine seberat 109.54 gram, 16 bunjut plastik disyaki heroin seberat 110.37 gram serta 23 bunjut tiub plastik mengandungi daun-daun kering disyaki kanabis seberat 142.31 gram.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dianggarkan RM18,534,” katanya pada sidang media sempena Majlis Perasmian Pelupusan Barang Kes Dadah dan Ketum Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, pada Khamis.
Mohd Alwi berkata, susulan penemuan itu, polis turut menahan anggota yang bertugas di Balai Polis Lumut bagi mengenal pasti bagaimana bahan terlarang berkenaan boleh dibawa masuk ke dalam lokap.
Katanya, hasil saringan awal air kencing mendapati kedua-dua OKT positif dadah jenis methamphetamine, manakala anggota polis terbabit didapati negatif dadah.
“Semakan juga mendapati anggota berkenaan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
“Polis sedang menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh termasuk mengenal pasti sumber bekalan serta bagaimana dadah berkenaan boleh dibawa masuk ke dalam lokap,” katanya.
Beliau berkata, kesemua tangkapan kini direman selama tujuh hari mulai 12 hingga 18 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan dan pengedaran dadah, termasuk sekiranya melibatkan mana-mana premis atau pihak dalam persekitaran kepolisan,” katanya.






