
SABAK BERNAM – Setiap pembangunan Rumah Selangorku Idaman dan Rumah Selangorku Harapan di Selangor akan dilengkapi sekurang-kurangnya satu hentian bas bagi memastikan penghuni mendapat akses mudah kepada pengangkutan awam.
Exco Perumahan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, kemudahan itu penting terutama bagi projek perumahan yang mempunyai jumlah unit kediaman yang tinggi, selain menggalakkan penduduk menggunakan pengangkutan awam untuk ke tempat kerja dan destinasi lain.
“Ini satu usaha yang baik kerana apabila penempatan Rumah Selangorku dalam suatu taman itu sudah tentu mempunyai bilangan rumah yang begitu banyak dan kita menggalakkan mereka menggunakan kenderaan awam.
“Kalau tidak ada fasiliti seperti hentian bas yang membolehkan mereka menunggu tanpa terkena hujan, ia boleh memberi impak kepada kemudahan mereka untuk ke tempat kerja atau ke mana juga,” katanya, seperti dipetik berita tempatan pada Ahad.
Kelmarin, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) di Dewan Negeri Selangor mengumumkan kerajaan negeri akan mewajibkan sekurang-kurangnya satu hentian bas di setiap kawasan Rumah Selangorku Idaman dan Rumah Selangorku Harapan.
Langkah itu bertujuan memastikan pemilik rumah mampu milik turut mendapat akses kepada pengangkutan awam, sekali gus menyokong usaha memperluas penggunaannya dalam kalangan masyarakat.
Dalam perkembangan berkaitan, Borhan berkata, kerajaan negeri turut mengenal pasti beberapa lokasi bagi menambah unit rumah sewa di bawah Skim Smart Sewa.
“Kita sudah kenal pasti lokasi dan akan bentangkan untuk beri keutamaan kawasan mana dahulu seperti rumah mampu milik dan pangsa murah,” katanya.
Amirudin sebelum ini memaklumkan kerajaan negeri menyasarkan jumlah unit rumah sewa di bawah Skim Smart Sewa ditingkatkan kepada 3,000 unit menjelang 2030, khususnya bagi golongan yang masih belum mampu mendapatkan pinjaman perumahan daripada institusi kewangan.






