
KUANTAN – Seramai 370 pelajar Tingkatan 1 hingga 3 dari Sekolah Menengah Sungai Isap Murni (SeMURNI), dekat sini, bakal menyertai STEM Camp MOSTI 2026 yang dijadual berlangsung pada 21 dan 22 Ogos di sekolah berkenaan.
Program ini dianjurkan oleh pihak pengurusan SeMURNI dengan kerjasama strategik Wanita Inspirasi Kuantan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Ahmad Shah (UMPSA), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Ahli Majlis Bandaraya Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi.
Pengetua SeMURNI, Fatimah Muda berkata, satu perjumpaan dan perbincangan bersama Penyelaras Program dan Juruperunding dari UMPSA, Dr Asrul Adam sudah diadakan semalam.
Ia bagi membincangkan persiapan akhir pelaksanaan kem itu.
Menurut pihak penganjur, kem terbabit bertujuan memupuk minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) seawal peringkat menengah rendah.
“Pelbagai aktiviti hands-on dan pendedahan kepada teknologi terkini dirancang sepanjang dua hari program.
“Pihak sekolah melahirkan harapan agar program ini dapat berjalan lancar dan memberi manfaat besar kepada para pelajar dalam memperkukuh kemahiran dan keyakinan mereka dalam bidang itu,” katanya.
Program ini turut selari dengan aspirasi #MalaysiaMADANI dan #MADANIBekerja dalam melahirkan generasi masa depan yang berpengetahuan dan berdaya saing, khususnya dalam bidang STEM.






