
KUALA LUMPUR – Semua pemberi perkhidmatan media sosial berlesen diwajibkan melaksanakan mekanisme pengesahan umur menggunakan dokumen rasmi bagi memastikan hanya individu berusia 16 tahun ke atas dibenarkan mendaftar dan memiliki akaun di platform masing-masing.
Kementerian Komunikasi berkata, ketetapan itu berkuat kuasa menerusi pelaksanaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) mulai 1 Jun 2026 sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh perlindungan pengguna muda dalam ekosistem digital.
Menurut jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini memantau pelaksanaan kod berkenaan bagi memastikan setiap pemberi perkhidmatan berlesen mematuhi syarat yang ditetapkan.
“Pengesahan umur hendaklah dilaksanakan menggunakan dokumen rasmi seperti MyKad, pasport, sijil kelahiran atau dokumen lain yang diiktiraf. Bagi memastikan pematuhan, MCMC sedang memantau pelaksanaan CPC oleh Pemberi Perkhidmatan Berlesen.
“MCMC mengeluarkan notis bertulis di bawah subseksyen 30(2) Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) kepada penyediaperkhidmatan media sosial bagi mendapatkan penjelasan berhubung ketidakpatuhan dan langkah pelaksanaan mekanisme pengesahan umur,” menurut kementerian itu.
Kementerian memaklumkan, pemberi perkhidmatan yang gagal mematuhi peruntukan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta, selain denda tambahan RM100,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan.
MCMC juga berkuasa mengeluarkan Notis Ketidakpatuhan dan mengenakan penalti kewangan sehingga RM10 juta terhadap pihak yang ingkar terhadap peruntukan akta berkenaan.
Jawapan itu diberikan bagi menjawab pertanyaan Senator Norhasmimi Abdul Ghani mengenai keberkesanan Akta 866 dan CPC dalam menangani ancaman terhadap kanak-kanak di alam siber, termasuk buli siber, eksploitasi seksual, penyebaran kandungan berbahaya serta ketagihan media sosial.
Dalam perkembangan lain, kementerian memaklumkan MCMC telah mengemukakan sebanyak 292,102 permohonan kepada platform digital untuk menurunkan kandungan penipuan dan akaun palsu sepanjang tempoh 1 Januari 2022 hingga 31 Julai 2026.
Daripada jumlah itu, sebanyak 279,875 kandungan atau 96 peratus berjaya diturunkan.
Bagi kandungan yang membabitkan iklan, produk dan perkhidmatan yang tidak dibenarkan pula, sebanyak 20,114 permohonan dikemukakan, dengan 17,285 kandungan atau 86 peratus telah diturunkan.
“Dalam tempoh yang sama, sebanyak 17,418 laman sesawang disekat, melibatkan 5,103 kes (29 peratus) berada di bawah bidang kuasa MCMC, manakala 12,315 kes (71 peratus) adalah di bawah bidang kuasa agensi-agensi lain.
“Tindakan penurunan kandungan, sekatan akaun dan sekatan laman sesawang dilaksanakan berdasarkan penilaian aduan, garis panduan komuniti platform serta undang-undang yang berkuat kuasa,” menurut kementerian itu.
Maklumat itu dikemukakan sebagai jawapan kepada soalan Senator Musoddak Ahmad berhubung tanggungjawab platform media sosial berlesen dalam menangani iklan berbayar yang memperdaya pengguna, termasuk tindakan memadam kandungan, menyekat akaun serta berkongsi maklumat pengiklan dengan pihak berkuasa.
Sementara itu, kementerian memaklumkan sebanyak 14,169 permohonan penurunan kandungan berunsur 3R melibatkan isu kaum, agama dan institusi diraja dikemukakan MCMC sepanjang tempoh 1 Januari 2022 hingga 30 Jun 2026.
Sebanyak 8,750 kandungan atau 62 peratus berjaya diturunkan berdasarkan aduan yang diterima, garis panduan komuniti platform dan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Dalam tempoh sama, MCMC turut menyiasat 462 kes di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) berkaitan isu 3R.
Daripada jumlah itu, 22 kes telah didakwa di mahkamah, dengan 16 kes telah diputuskan manakala enam lagi masih dalam prosiding.
Penjelasan tersebut diberikan bagi menjawab pertanyaan Senator Mohd Hasbie Muda mengenai tindakan terhadap individu yang berulang kali menyalahgunakan platform digital untuk mencetuskan provokasi, mengganggu ketenteraman awam atau menghasut masyarakat.






