
KUALA LUMPUR – Keseronokan Himpunan RXZ Member berlangsung di Terengganu, baru-baru ini yang mencatatkan rekod kehadiran seramai 200,000 orang namun membawa kisah duka bagi rakan sepejuangan mereka yang tidak kesampaian apabila sebanyak 11 kes maut daripada 46 kemalangan direkodkan.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini, mendedahkan sebanyak 11 kes kemalangan maut dilaporkan berlaku sepanjang tempoh empat hari Himpunan RXZ member di Litar Pemotoran Gong Badak, Terengganu bermula 30 Julai hingga 2 0gos lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, statistik kemalangan maut itu menyumbang kepada 23.91 peratus daripada 46 kes kemalangan jalan raya sepanjang himpunan tersebut.
“Selain itu, PDRM turut merekodkan lima kes (10.87 peratus) kemalangan parah dan 30 kes atau 65.22 peratus kemalangan ringan.
“Jumlah tertinggi kemalangan direkodkan pada 31 Julai (16 kes), 15 kes (2 Ogos), 11 kes (1 Ogos) dan 4 kes (30 Julai),” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurut Muhammed Hasbullah, secara keseluruhan sebanyak 29 daripada 46 penunggang maut atau 63.04 peratus yang terlibat berumur antara 19 hingga 30 tahun manakala umur 20 tahun mencatakan penglibatan tertinggi dengan tujuh orang.
“Mengikut jantina sebanyak 44 orang mangsa merupakan lelaki manakala dua orang adalah wanita,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, analisis turut mendapati kemalangan langgar belakang mencatat jumlah tertinggi iaitu 21 kes dikuti terbabas sendiri (15 kes), langgar tepi (tujuh kes dan bergesel (tiga kes).
“Daripada keseluruhan kes itu, sebanyak 11 kes kemalangan maut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala lima kes kemalangan parah disiasat di bawah Seksyen 43(1) akta sama,” katanya.
Jelasnya, PDRM memandang serius jumlah kemalangan maut dan parah yang berlaku melibatkan penunggang motosikal kerana membabitkan golongan muda.
“Antara foktor kemalangan adalah kecuaian, kegagalan mengawal kenderaan, mengekori terlalu rapat serta tindakan menunggang secara tidak selamat yang juga boleh membahayakan kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, penganjur program atau perhimpunan motosikal disaran supaya menyediakan pelan pergerakan yang teratur, memberikan taklimat keselamatan kepada peserta serta menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa.
Tambahnya, JSPT akan terus meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kesalahan lalu lintas yang boleh membahayakan penguna jalan raya manakala tindakan tegas akan diambil jika didapati melanggar undang-undang atau menunggang secara berbahaya.
“Keselamatan di jalan raya merupakan tanggungjawab bersama, jabgan jafikan keseronokan dan kwteruajaan menyertai sesuatu program sebagai alasan untuk mengabaikann keselamatan diei serta pengguna lain,” katanya.



