
KUCHING – Ibu bapa dan golongan dewasa memikul tanggungjawab utama dalam memastikan kelangsungan bahasa etnik serta dialek tempatan agar ia tidak pupus ditelan zaman.
Ahli akademik dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Profesor Dr Ting Su Hie menegaskan bahawa usaha pemeliharaan warisan itu tidak seharusnya diletakkan di bahu kerajaan atau sistem pendidikan semata-mata.
Menurut pakar sosiolinguistik itu, langkah pencegahan yang paling berkesan adalah dengan mula mempertuturkan bahasa ibunda kepada anak-anak di rumah sejak dari usia bayi.
“Masa depan sesuatu bahasa itu tidak bergantung kepada dasar, bilik darjah, mahupun aktiviti kebudayaan semata-mata.
“Kuasa sebenar untuk mengekalkan dan menyambung hayat bahasa ini terletak di tangan kita sendiri,” katanya menerusi Syarahan Perdana ‘Language Choice and Power’ di Panggung Eksperimental Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif UNIMAS pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau mematahkan mitos dan persepsi masyarakat yang bimbang kononnya pendedahan kepada terlalu banyak dialek akan mengelirukan atau menjejaskan perkembangan otak kanak-kanak.
Jelasnya, bayi dan kanak-kanak sebenarnya mempunyai keupayaan kognitif yang hampir tidak terhad untuk mempelajari pelbagai bahasa sebelum mereka mencecah usia lima tahun.
“Secara kognitifnya, penguasaan pelbagai bahasa adalah sangat baik untuk perkembangan otak kanak-kanak.
“Ia bukan sahaja membina kemahiran menyelesaikan masalah, malah membantu mereka untuk kekal fokus dengan lebih baik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Su Hie mengibaratkan kemampuan menyerap bahasa baharu tanpa melupakan bahasa asal itu seperti paruh burung undan (pelican) yang mampu mengembang, atau dikenali sebagai additive bilingualism.
Namun begitu, beliau menzahirkan kebimbangan terhadap trend ‘bilingualisme tolakan’ (subtractive bilingualism) yang semakin menular dalam sesetengah komuniti terutama generasi masa kini di bandar.
Tambah beliau, generasi masa kini di bandar yang semakin hilang keupayaan menuturkan dialek asal akibat asimilasi budaya luar.
Justeru, pengarang buku Language Choice and Power itu menyeru seluruh masyarakat khususnya di Sarawak agar terus berkomunikasi dalam bahasa etnik masing-masing bersama anak dan cucu.





