
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pihak pentadbiran sekolah supaya tidak menyembunyikan kes buli semata-mata bagi menjaga imej atau prestasi institusi pendidikan.
Beliau berkata, walaupun keadaan dilihat semakin reda, kejadian buli dalam pelbagai bentuk masih berlaku dan perlu ditangani segera sebelum menjadi budaya yang boleh membawa kepada keganasan.
“Kalau guru besar memilih untuk mendedahkan kes itu, saya hormat kerana dia tidak cuba melindungi semata-mata hendak menjaga imej sekolah atau prestasi sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan (KPM) di sini, hari ini.
Menurut beliau, usaha membanteras buli perlu menjadi keutamaan pentadbir sekolah selain memastikan kebajikan dan keselamatan murid sentiasa terpelihara.
Anwar berkata, tidak wajar kes buli disembunyikan hanya kerana bimbang ia menjejaskan nama baik sekolah atau menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi berkenaan.
“Jadi anak tidak kita nak tanggung dosa itu. Sebab itu saya minta supaya ada perubahan,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menggesa pihak sekolah memberi perhatian serius terhadap kemudahan asas seperti tandas yang bersih dan selamat kerana ia turut mempengaruhi kesejahteraan serta keselesaan murid.
“Bagaimana kita sebagai bapa dan saya sebagai atuk boleh terima anak cucu kita itu masih rasa resah atau susah hendak ke sekolah sebab ada buli.
“Bagaimana kita hantar anak ke sekolah dalam keadaan tandas yang kotor. Itu hal-hal yang fundamental,” katanya.
Anwar berkata beliau turut mendapatkan maklum balas secara langsung daripada pelajar ketika bertemu mereka pada solat Jumaat setiap minggu bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai keadaan di sekolah dan institusi pengajian tinggi.
Katanya, pandangan pelajar lazimnya lebih terus terang berbanding laporan rasmi yang diterima daripada pelbagai peringkat pentadbiran.
“Saya pergi tiap hari Jumaat, yang paling susah hati Menteri Pendidikan sebab saya dapat input daripada anak-anak sekolah dan universiti.
“Mereka cukup bercakap lurus. Kalau tanya budak Tingkatan 2, tandas berapa rosak, dia akan jawab terus.
“Kalau tanya pihak lain, jawapannya mungkin sedang dibaiki. Itu bezanya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan akan terus memberi perhatian terhadap isu asas di sekolah termasuk keselamatan murid, kebersihan, disiplin dan persekitaran pembelajaran bagi memastikan institusi pendidikan kekal sebagai tempat yang selamat dan kondusif.
Kerajaan dan KPM sebelum ini berulang kali menegaskan pendirian sifar toleransi terhadap sebarang bentuk buli di institusi pendidikan serta mengarahkan tindakan tegas diambil terhadap pelaku mengikut peraturan ditetapkan.


