KUANTAN – Bagi memeriahkan sambutan Deepavali hujung bulan Oktober, pihak pengurusan Kuantan 188 bakal mengadakan Festival Cahaya bermula 25 hingga 27 Oktober ini.
Festival julung kali dianjurkan itu akan menyediakan kira-kira 30 gerai jualan pelbagai barangan dan aksesori untuk dipilih pengunjung.
Selain gerai jualan, pelbagai program menarik disediakan sepanjang tiga hari festival berlangsung.
Antaranya Diwali Bazaar, K-188 E Battle Madani Ladies Tournament, wayang pacak dan Mr & Mrs Diwali.
Pengurus Operasi Kuantan 188, Mohd Hanis Fakhri Ahmad Yussri berkata, penganjuran festival itu bukan sahaja untuk memberi peluang kepada komuniti India yang akan menyambut Deepavali mendapatkan barangan keperluan mereka.
Tapi, ia juga bagi mendedahkan keunikan sambutan Pesta Cahaya kepada kaum lain yang berada di sekitar bandar raya Kuantan.
“Kita jangkakan lebih 10,000 pengunjung akan memeriahkan festival kali pertama ini.
“Selain menyasarkan penduduk sekitar Kuantan dan Pahang, kita juga berharap rakan kita dari negeri Pantai Timur juga dapat mengambil bahagian dalam festival anjuran kami,” katanya ketika ditemui selepas sidang media khas sempena Festival Cahaya Kuantan 188, di sini, hari ini.
Bagi tayangan wayang pacak sepanjang festival berlangsung, Mohd Hanis Fakhri memberi jaminan pihaknya akan menayangkan filem terkini yang dibintangi pelakon terkenal.
“Boleh datang dan bersantai dengan keluarga masing-masing sepanjang festival berlangsung sambil membeli pelbagai barangan menarik dari gerai yang disediakan.
“Banyak lagi acara menarik disediakan sepanjang festival dan menjadi harapan kami agar ia dapat membantu rakan-rakan kita membuat persiapan menyambut perayaan Deepavali tahun ini,” jelasnya.





