
TUARAN – Dua pejalan kaki maut dirempuh kereta berhampiran simpang Kampung Rugading dekat Jalan Kota Kinabalu-Tuaran di sini, awal pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintenden Noraidin Ag Maidin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 5.50 pagi melibatkan dua mangsa wanita dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi.
Jelasnya, kedua-dua mangsa pejalan kaki disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu yang terlibat telah tampil di Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran bagi membantu siasatan.
“Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sejurus sahaja laporan polis diterima.
“Setakat ini beberapa individu dirakam percakapan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Beliau berkata, pemandu kenderaan terbabit turut ditahan dan akan direman bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, pihaknya mengucapkan ribuan terima kasih serta menyeru supaya orang awam atau individu-individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu agar memaklumkan kepada pihak polis.
Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik IPD Tuaran, Inspektor Haffiz di talian 011-61600964 atau mana-mana balai polis yang berhampiran bagi menyalurkan maklumat dan membantu siasatan.





