
MIRI – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pujut menerima peruntukan sebanyak RM10,000 daripada Ahli Parlimen Miri bagi menyokong pembangunan pendidikan dan aktiviti kokurikulum di sekolah berkenaan pada Jumaat.
Sumbangan daripada Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man itu diserahkan bersempena dengan penganjuran Karnival Kokurikulum SMK Pujut.
Penyerahan dana tersebut telah disempurnakan oleh Pegawai Khas Pusat Khidmat Ahli Parlimen Miri, Christopher Jemat Amie mewakili beliau.
Menerusi satu kenyataan rasmi, Choon Man berkata, bantuan itu bertujuan memperkasa kemudahan sekolah selain memberi galakan kepada para pelajar untuk terus mencipta kecemerlangan.
“Program ini turut meraikan 49 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademik dan usaha gigih mereka.
“Peruntukan tersebut juga menyokong persiapan SMK Pujut sebagai tuan rumah Majlis Sukan Sekolah Bahagian (MSSB) Miri 2026 yang dijadualkan berlangsung bulan ini,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan pengiktirafan kepada pelajar cemerlang itu diharap menjadi dorongan dan inspirasi kepada rakan-rakan yang lain untuk melangkah lebih jauh.
Tambahnya, pendidikan di sekolah tidak seharusnya tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu diimbangi dengan pembangunan sahsiah dan kepimpinan menerusi penglibatan aktif kokurikulum.
“Aktiviti kokurikulum memainkan peranan penting dalam membentuk generasi muda yang berdisiplin, berdaya saing dan mempunyai kemahiran kepemimpinan,” ujarnya.
Beliau pada masa sama turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan sekolah dan guru atas komitmen berterusan melahirkan generasi berilmu yang bakal menyumbang kepada bangsa.







