
PORT DICKSON – Corak sokongan pengundi Melayu di Johor tidak boleh dibandingkan secara terus dengan Negeri Sembilan, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau berkata, setiap negeri mempunyai latar politik serta pertimbangan tersendiri dalam menentukan pilihan pada pilihan raya.Beliau berkata, keputusan akhir tetap berada di tangan rakyat dan PH yakin masih mendapat sokongan daripada pengundi.
“Kita serahkan kepada pengundi. Jangan kita bandingkan pengundi Johor dan Negeri Sembilan kerana mereka boleh membuat pilihan sendiri.
“Saya yakin kita (PH) masih dapat sokongan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri solat Jumaat di Masjid Qariah Kampung Sawah Sunggala, hari ini.
Mengulas kemungkinan PH mengadakan kempen berskala lebih besar pada minggu terakhir sebelum hari pengundian, Aminuddin berkata perkara itu akan ditentukan oleh pengarah pilihan raya negeri parti.
“Untuk calon, kita masih perlu turun padang dan bertemu pengundi,” katanya.
Aminuddin yang juga calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi akan berdepan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Faizal Ramli.
Sebelum ini, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mendakwa PH perlu menilai sendiri punca kegagalan mendapatkan sokongan pengundi Melayu, bukannya menyalahkan pihak lain.
Beliau berkata, berdasarkan satu kajian terhadap prestasi calon PH dalam pilihan raya Johor lalu, calon gabungan itu didakwa memperoleh kurang 10 peratus sokongan daripada pengundi Melayu.
Khairy turut menggesa PH melihat kelemahan sendiri sebelum mendakwa pihak lain memainkan isu berkaitan kaum.
PRN Negeri Sembilan dijadualkan berlangsung pada 1 Ogos ini.



