
PORT DICKSON – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, memilih memberi tumpuan kepada strategi akhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) berbanding menyahut pelawaan mengadakan debat dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Aminuddin yang juga calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) PH itu berkata, cadangan mengadakan debat berkenaan dibangkitkan ketika kempen sudah memasuki fasa terakhir, sedangkan tumpuan utama beliau kini adalah memastikan persiapan menghadapi pengundian awal dan hari pengundian berjalan lancar.
“Isu debat yang telah dibangkitkan oleh bekas Exco kanan saya pada saya dan saya rasa saya tidak perlu melayan kerana kita sudah hampir dengan pilihan raya.
“Sepatutnya isu ini boleh dibawa lebih awal sebelum pilihan raya. Tapi terlewat kita perbincangan.
“Kerana sekarang kita telah menumpukan strategi akhir kita menghadapi pengundian.
“Dan kita semua tahu bahawa hari Rabu ini telah ada pengundian. Jadi lebih baik saya menumpukan strategi akhir saya menjelang pilihan raya, terutamanya ketika pengundi awal memulakan pengundian pada hari Rabu, insya-Allah,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pelawaan Jalaluddin untuk mengadakan sesi dialog atau debat terbuka sempena kempen PRN Negeri Sembilan.
Sebelum itu beliau menunaikan solat Jumaat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Qariah Kampung Sawah Sunggala.
Aminuddin berkata, keutamaan beliau ketika ini adalah memastikan gerak kerja jentera dan strategi akhir kempen dapat dilaksanakan dengan baik menjelang proses pengundian.
Sebelum ini, Jalaluddin yang juga Calon Barisan Nasional (BN) DUN Pertang membuat pelawaan secara terbuka ketika berkempen untuk mengadakan satu sesi dialog bersama Aminuddin.
Pada Khamis, PH dalam satu kenyataan memaklumkan tidak menolak kemungkinan mengadakan debat terbuka antara Aminuddin dan Jalaluddin, namun hanya sekiranya Barisan Nasional (BN) terlebih dahulu mengesahkan Ahli Parlimen Jelebu itu sebagai calon Menteri Besar.
Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad berkata, status Jalaluddin sebagai calon rasmi Menteri Besar perlu diperjelaskan terlebih dahulu sebelum sebarang cadangan debat boleh dipertimbangkan.







