
KUALA LUMPUR – Pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming mengambil tindakan undang-undang susulan dakwaan kebocoran data peribadinya, termasuk menghantar surat tuntutan Letter of Demand (LOD) kepada syarikat telekomunikasi Maxis.
Khairul Aming berkata, laporan rasmi turut dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membuka siasatan terhadap individu yang didakwa terbabit, serta laporan kebocoran data kepada Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi (SPDP).
“Peguam-peguam saya akan mengambil alih kes ini sehingga selesai. Sejujurnya saya rasa sedih dan seram kerana semudah itu sahaja privasi hidup boleh hilang.
“Butiran telefon, sejarah pembayaran, langganan, malah nombor kad pengenalan yang boleh mengakses MySara, semuanya didakwa bocor,” katanya menerusi Threads pada Rabu.
Perkongsian itu mendapat perhatian ramai pengguna media sosial yang menyuarakan kebimbangan terhadap aspek keselamatan data peribadi di negara ini.
Seorang pengguna Threads, @tealivemagnum, berkata insiden yang menimpa Khairul Aming membuka mata masyarakat mengenai risiko kebocoran maklumat peribadi.
“Nasib baik perkara ini berlaku kepada individu terkenal seperti Khairul Aming. Sekurang-kurangnya ia membuka mata rakyat Malaysia bahawa privasi kita boleh bocor dengan begitu mudah,” katanya.
Pada Isnin, Khairul Aming menuntut penjelasan daripada Maxis selepas butiran bil telefon peribadinya didakwa didedahkan oleh seorang individu menerusi Threads.
Dakwaan itu timbul apabila seorang pengguna platform berkenaan mendakwa usahawan terbabit mempunyai tunggakan bil telefon sebanyak RM498 dan talian telefonnya disekat akibat kegagalan membuat bayaran.
Susulan insiden itu, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil memaklumkan MCMC akan mendapatkan laporan penuh berhubung dakwaan kebocoran maklumat peribadi berkenaan bagi menentukan tindakan lanjut.







