
KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan merobohkan sebuah premis dan tiga rumah kediaman yang dibina secara haram oleh etnik Rohingya di atas tanah milik kerajaan di Pechong, Tanah Merah dekat sini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, tindakan itu diambil selepas pihak tidak bertanggungjawab menceroboh tanah kerajaan serta mendirikan struktur tanpa kelulusan merancang atau kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa.
Menurutnya, keadaan menjadi lebih serius apabila premis berkenaan disewakan kepada warga Rohingya.
“Antara struktur yang dirobohkan ialah sebuah bangunan yang dijadikan pusat pengajian agama dan tiga rumah kediaman yang dibina tanpa kebenaran di atas tanah milik Pesuruhjaya Tanah Kelantan (PTK).
“Tindakan tegas ini diambil bagi membanteras kegiatan pencerobohan tanah kerajaan secara haram, selain membendung isu penempatan warga asing tanpa dokumen sah,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menceroboh, memajukan atau menyewakan tanah rizab serta tanah kerajaan secara haram kepada warga asing.

