
SEREMBAN – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menggantung sementara tauliah mengajar agama yang dimiliki ahli politik dan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 sepanjang tempoh rasmi kempen.
Arahan itu dimaklumkan Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd Asri Abdullah menerusi surat bertarikh 20 Julai yang diedarkan kepada pengerusi jawatankuasa kariah masjid, surau solat Jumaat dan surau di seluruh negeri.
“Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan memutuskan supaya semua aktiviti pengajaran dan penyampaian ceramah agama oleh pemegang Tauliah Mengajar Agama Negeri Sembilan dalam kalangan ahli politik atau calon PRN Ke-16 digantung sementara sepanjang tempoh rasmi kempen pilihan raya.
“Ia bagi menjunjung Titah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,” katanya dalam surat berkenaan.
Mohd Asri berkata, penggantungan itu berkuat kuasa mulai 18 Julai lalu sehingga satu notis baharu dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan.
Beliau turut mengingatkan bahawa kegagalan mematuhi arahan tersebut boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa serta syarat Tauliah Mengajar Agama Negeri Sembilan.
Sementara itu, Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Faudzinaim Badaruddin dalam surat yang dilampirkan bersama memaklumkan langkah berkenaan diambil bagi memelihara kesucian institusi agama dan mengelakkan premis ibadah dijadikan medan berkempen.
Menurutnya, penggantungan sementara itu juga bertujuan memastikan masjid, surau dan premis pengajaran agama tidak menimbulkan persepsi memihak kepada mana-mana parti atau calon yang bertanding.
Turut disertakan dalam surat berkenaan ialah senarai pemegang tauliah yang digantung sementara, termasuk calon PH DUN Sikamat, Nor Azman Mohamad; calon PH DUN Paroi, Ahmad Shahir Mohd Shah; calon PH DUN Pertang, Mohd Umry Abdul Khois; penyandang DUN Serting daripada Perikatan Nasional (PN), Mohd Fairuz Mohd Isa; penyandang DUN Bagan Pinang daripada PN, Abdul Fatah Zakaria; serta beberapa pemimpin politik lain seperti Senator Jufitri Joha, Datuk Jaafar Muhammad dan Muhammad Aqil Irfan Razali.


