
SANDAKAN – Dua kanak-kanak lelaki ditemukan lemas ketika dipercayai mandi di sebuah kolam terbiar di Jalan Sungai (Sg) Manila, di sini pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa masing-masing berusia sembilan dan 11 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.01 petang sebelum sepasukan lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan dikerahkan ke lokasi terletak kira-kira 19 kilometer (km) dari balai.
“Setibanya pasukan bomba pada pukul 6.36 petang, kedua-dua mangsa telah berjaya dibawa keluar oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
“Pemeriksaan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kedua-dua mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.
Pasukan bomba kemudian membantu mengangkat dan membawa mangsa ke lokasi yang selamat sebelum diserahkan kepada KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 7.08 malam selepas pihak bomba memastikan tiada lagi sebarang bahaya di lokasi kejadian.






