
TAWAU – Sebanyak 11 motosikal disita manakala seorang lelaki ditahan kerana menunggang motosikal di bawah pengaruh alkohol menerusi Op Samseng Jalanan dan Op Mabuk, di sekitar daerah ini, pada Sabtu.
Operasi bermula pukul 10 malam hingga 2 pagi itu dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Tawau di Jalan Apas, Jalan Chong Thien Vun dan Jalan Kabota.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, operasi dilaksana bagi membanteras kegiatan lumba haram, mengesan pemandu mabuk dan memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang lalu lintas.

“Dalam Op Samseng Jalanan, pihak polis telah mengeluarkan sebanyak 24 keping notis saman atas pelbagai kesalahan membabitkan penunggang motosikal termasuk memandu tanpa lesen, mengubah suai ekzos dan struktur kenderaan, menggunakan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi, memandu di bawah umur, cermin pandang belakang, brek tidak berfungsi dengan baik serta lesen memandu tamat tempoh.
“Sebanyak 11 motosikal turut disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala seramai 55 individu bersama 52 kenderaan pelbagai jenis telah diperiksa sepanjang operasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan, pada Ahad.
Menurut Wilynton, dalam Op Mabuk pula, seorang lelaki tempatan berumur 23 tahun ditahan selepas ujian saringan awal menggunakan Screening Device 2 Plus (SD2+) mengesan kandungan alkohol dalam badannya.
“Suspek kemudiannya dibawa ke pejabat BSPT IPD Tawau untuk menjalani ujian pengesahan menggunakan Evidential Breath Analyzer (EBA II) sebelum bacaan direkodkan melebihi had yang dibenarkan.
“Suspek ditahan mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan motosikal yang digunakan turut disita bagi membantu siasatan lanjut,” ujarnya.
Tegasnya, operasi seumpama itu akan terus dipergiat dan dilaksanakan secara berterusan di lokasi serta waktu yang berbeza bagi membanteras kegiatan terbabit.
Justeru katanya, pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang sengaja melanggar undang-undang jalan raya sehingga mengancam keselamatan pengguna lain.
“Jangan jadikan jalan raya sebagai litar perlumbaan atau medan untuk menunjukkan kehebatan.
“Keseronokan hanya mengambil masa singkat yang mengakibatkan kehilangan nyawa, kecederaan serius serta tindakan undang-undang yang akan memberi kesan kepada masa depan pelaku sendiri.

“Orang ramai juga diingatkan supaya tidak beranggapan mereka terlepas daripada tindakan undang-undang hanya kerana tidak ditahan semasa operasi dijalankan.
Tambah Wilynton, pada masa kini, pelbagai aksi berbahaya di jalan raya sering dirakam oleh pengguna jalan raya lain melalui telefon bimbit, kamera papan pemuka (dashcam) dan kamera litar tertutup (CCTV), sebelum dikongsikan kepada pihak polis atau tular di media sosial.
“Setiap rakaman video, gambar atau maklumat yang diterima akan diteliti dan disiasat.
“Sekiranya terdapat bukti yang mencukupi, polis boleh mengenal pasti individu serta kenderaan yang terbabit dan tindakan tegas akan tetap diambil mengikut peruntukan undang-undang walaupun kesalahan itu dikesan selepas operasi selesai,” jelasnya.





