JEMPOL – Peluang pekerjaan dan memperkasakan masa depan golongan belia sebagai antara keutamaan yang ditawarkan Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Manivanan Gowin kepada pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Manivanan berkata, pihaknya komited akan melaksanakan kerjasama erat dengan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan bagi menarik pelaburan yang mampu menjana pekerjaan berkualiti di kawasan itu sekiranya diberikan mandat pada 1 Ogos nanti.
“Selain menarik pelaburan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan tempatan juga perlu diperkasakan melalui latihan, akses pembiayaan, pemasaran dan pendigitalan perniagaan supaya ekonomi setempat terus berkembang.
“Jeram Padang memiliki potensi besar untuk muncul sebagai kawasan yang mampu menarik pelaburan baharu sekali gus merancakkan ekonomi setempat serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Ahad.
Tambahnya, memperluaskan penyertaan belia dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), latihan keselamatan pekerjaan menerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), pembangunan kemahiran digital, keusahawanan serta pembangunan bakat merupakan antara inisiatif yang akan diberi tumpuan pihaknya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, pembangunan belia tidak boleh dipinggirkan kerana ramai anak muda di Jeram Padang mempunyai potensi tetapi memerlukan peluang dan sokongan untuk membina kerjaya.
“Malah, peluang kepada belia dan masyarakat luar bandar untuk menyertai program pembangunan ekonomi desa seperti Desa MAHA turut akan diperkasakan, melibatkan sektor pertanian moden, penternakan, akuakultur serta latihan pemasaran produk sehingga ke peringkat kebangsaan.
“Usaha ini bukan sekadar membantu anak muda mendapatkan pekerjaan, malah melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, berdaya saing dan bersedia menghadapi perubahan ekonomi masa depan,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan sebenar bukan hanya tertumpu kepada pembinaan infrastruktur semata-mata, sebaliknya perlu memastikan rakyat menikmati pekerjaan yang stabil, pendapatan lebih baik serta peluang meningkatkan taraf hidup.
“Komitmen itu menjadi asas kepada aspirasi beliau untuk membangunkan Jeram Padang sekiranya diberi kepercayaan oleh pengundi pada PRN kali ini,” katanya.


