
KUALA KURAU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Kuala Kurau menahan sebuah bot kargo yang membawa muatan kayu bakau bersama tiga kru warga Indonesia selepas disyaki melakukan pelbagai kesalahan membabitkan dokumen vesel dan imigresen dalam operasi penguatkuasaan di perairan Kuala Sepetang, Rabu lalu.
Bot bernombor pendaftaran ANE 3119 itu ditahan kira-kira jam 2.50 petang pada kedudukan sekitar 0.05 batu nautika ke barat Muara Kuala Sepetang.
Pengarah Maritim Zon Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Hairil Othman berkata, pemeriksaan mendapati bot berkenaan dipercayai gagal mempamerkan lesen bot serta polisi insurans seperti yang diwajibkan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap kru turut mengesan beberapa pelanggaran di bawah Akta Imigresen 1959/63 apabila mereka gagal mengemukakan permit kerja yang sah selain disyaki menyalahgunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
“Seramai tiga kru warga Indonesia berusia antara 26 hingga 48 tahun berada di atas bot ketika pemeriksaan dijalankan.
“Kesemua mereka bersama bot berkenaan ditahan dan diiring ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, laporan polis turut dibuat di Balai Polis Kuala Sepetang bagi melengkapkan proses siasatan.
Mohd Hairil menegaskan Maritim Malaysia akan terus memperhebat rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi memastikan semua vesel yang beroperasi di perairan negara mematuhi undang-undang serta peraturan yang ditetapkan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pemilik dan pengusaha vesel supaya memastikan lesen vesel, perlindungan insurans serta dokumen penggajian kru sentiasa lengkap, sah dan dikemas kini bagi mengelakkan dikenakan tindakan penguatkuasaan.




