
LIMBANG – Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun cedera selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lagi motosikal di Simpang Taman Damai, di sini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang, Kapten (PA) Jumaat Akasas berkata, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Limbang menerima panggilan kecemasan daripada orang awam sekitar jam 4 petang sebelum menggerakkan sepasukan anggota ke lokasi kejadian.
Menurutnya, lokasi kemalangan terletak kira-kira empat kilometer dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Limbang.
“Sebaik tiba di lokasi, anggota mendapati kemalangan membabitkan dua buah motosikal dengan seorang mangsa wanita mengalami kecederaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengadu sakit pada bahagian bahu kiri dan kaki kanan, selain mengalami luka pada jari kelingking kaki,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya diberikan rawatan awal di lokasi sebelum dihantar ke Hospital Limbang untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi yang dikendalikan APM berakhir pada jam 5 petang selepas mangsa berjaya diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan selanjutnya.



