
JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, Nor Zulaila Abdul Ghani menyeru pengundi supaya tidak memandang ringan kepentingan setiap undi dan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini, bagi menentukan masa depan negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.
Beliau berkata, tempoh berbaki berkempen berakhir, tumpuan jentera PH kini beralih kepada usaha menggalakkan seramai mungkin pengundi menunaikan tanggungjawab selepas fasa awal kempen memberi penekanan kepada memperkenalkan calon kepada masyarakat.
“Semasa turun padang, ada yang berkata mengundi sama sahaja, tiada perubahan. Tetapi kita tidak boleh berfikiran begitu. Jika semua orang beranggapan sedemikian, kita sebenarnya melepaskan hak kita untuk menentukan masa depan,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP) pada Majlis Makan Malam Harapan, di sini, pada Khamis.
Nor Zulaila yang mesra disapa Lily berkata, walaupun bukan mudah untuk menggalakkan orang ramai keluar mengundi, pihaknya terus mendekati semua lapisan masyarakat bagi menyampaikan mesej mengenai kepentingan setiap undi.
Nor Zulaila berkata, setiap undi mempunyai nilai yang besar dalam menentukan hala tuju negeri dan tidak seharusnya dipandang remeh.
“Setiap undi amat penting. Jangan beranggapan satu undi tidak memberi kesan atau mengharapkan orang lain akan mengundi bagi pihak kita. Jika semua orang berfikir begitu, akhirnya tiada siapa yang akan keluar mengundi.
“Undi kita bukan sekadar untuk diri sendiri, tetapi menentukan masa depan Johor bagi tempoh lima tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima sepanjang tempoh berkempen, ramai pengundi mahukan landskap politik yang lebih stabil dan tidak berpecah-belah.
Mengulas kejadian beberapa papan iklan kempennya yang dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab, beliau mengesahkan insiden itu berlaku, namun enggan menuding jari kepada mana-mana pihak.
“Memang benar perkara itu berlaku dan bukan hanya melibatkan satu papan iklan, tetapi beberapa buah. Namun, kami tidak menyalahkan mana-mana pihak.
“Kami hanya berharap semua pihak tidak merosakkan harta benda atau bahan kempen seperti itu dan menghormati proses demokrasi,” katanya.
Pada PRN Johor kali ini, kerusi DUN Tiram menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Nor Zulaila mewakili PH, Datuk Maulizan Bujang (Barisan Nasional) Abdullah Husin (Perikatan Nasional) dan Muhammad Nasir Hashim daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama)





