
JOHOR BAHRU – Kebolehan bertutur dalam bahasa Mandarin dilihat menjadi antara kelebihan calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, Nor Zulaila Abdul Ghani atau lebih dikenali sebagai Lily, dalam mendekati pengundi pelbagai kaum sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Nor Zulaila berkata, penguasaan bahasa itu bukan sesuatu yang baharu kerana beliau mendapat pendidikan di sekolah aliran Cina sejak kecil, selain meneruskan pembelajaran bahasa Mandarin sehingga peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Beliau berkata, pendedahan yang diberikan bapanya itu membolehkan beliau berkomunikasi dengan lebih mudah bersama masyarakat berbilang kaum, sekali gus mengukuhkan hubungan dengan penduduk setempat.
“Ayah saya menghantar saya dan adik-beradik ke sekolah aliran Cina sejak tadika hingga sekolah rendah. Di sekolah menengah pula, saya mengambil mata pelajaran bahasa Cina sehingga peringkat SPM.
“Jadi, keupayaan bertutur dalam bahasa Mandarin sememangnya menjadi satu kelebihan untuk saya berhubung dengan masyarakat daripada pelbagai latar belakang,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP) pada Majlis Makan Malam Harapan, di sini, pada Khamis.
Tambahnya, keupayaan menguasai lebih daripada satu bahasa memudahkannya memahami keperluan masyarakat serta menyampaikan mesej kepada pengundi dengan lebih berkesan.
Sementara itu, pengundi DUN Tiram, Balqis Ibrahim, 38, menyifatkan Nor Zulaila sebagai calon muka baharu yang diyakini mampu membawa pembaharuan kepada kawasan berkenaan.
Katanya, selain mempunyai latar belakang yang meyakinkan, Nor Zulaila juga dilihat mudah didekati dan aktif mendampingi masyarakat.
“Ini kali pertama calon wanita bertanding di DUN Ulu Tiram. Sebelum ini semuanya calon lelaki. Saya memang menantikan sesuatu yang baharu.
“Saya memang belum pernah berjumpa dengannya, tetapi saya mengikuti perkembangannya di media sosial. Cara dia bercakap lembut, mesra dan mudah didekati. Saya juga melihat dia turun menyantuni rumah kebajikan, jadi dia tidak kelihatan seperti ahli politik yang berjarak dengan rakyat,” katanya.

Suaminya, Hafetz Roslan, 42, pula berharap lebih ramai pemimpin muda diberi peluang kerana mampu membawa idea dan pendekatan baharu.
“Yang penting dia masih muda. Kita perlukan pemimpin muda yang mempunyai tenaga dan idea baharu untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Balqis turut berharap Nor Zulaila terus berkhidmat kepada masyarakat tanpa mengira keputusan pilihan raya.
“Menang atau kalah itu perkara biasa dalam politik. Jangan mudah berputus asa. Umurnya masih muda dan masih banyak ruang untuk menimba pengalaman serta terus berbakti kepada rakyat. Semoga berjaya,” katanya.
Pada PRN Johor kali ini, kerusi DUN Tiram menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Nor Zulaila mewakili PH, Datuk Maulizan Bujang (Barisan Nasional), Abdullah Husin (Perikatan Nasional) dan Muhammad Nasir Hashim daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama).
