
CYBERJAYA – Malaysia mengorak langkah memperkukuh pembangunan kecerdasan buatan (AI) berdaulat dan teknologi pengkomputeran kuantum menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan IBM Malaysia Sdn. Bhd.
MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan kerjasama strategik itu bertujuan mempercepatkan inovasi teknologi, memperkukuh keupayaan negara serta mempersiapkan Malaysia menghadapi peluang dan cabaran era teknologi termaju.
“Inisiatif ini turut menyokong pembangunan ekosistem digital yang selamat, berdaya tahan serta selaras dengan kepentingan strategik negara.
“Kerjasama tersebut turut membuka laluan kepada cadangan penubuhan Pusat Kecemerlangan Kuantum dan Kecerdasan Buatan Negara (NQAIC), yang bakal menjadi hab kolaborasi antara kerajaan, institusi pengajian tinggi, pemain industri dan rakan strategik,” menurut kenyataan itu.
Majlis pemeteraian MoU yang berlangsung sempena Sidang Kemuncak Keselamatan Siber Negara 2026 di Cyberjaya itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pusat berkenaan dijangka memacu perkongsian kepakaran, pembangunan bakat, penyelidikan serta inovasi dalam bidang kecerdasan buatan dan teknologi kuantum.
MoU itu memberi fokus kepada tiga teras utama, iaitu pembangunan ekosistem AI dan kuantum, pengukuhan tadbir urus serta keselamatan teknologi yang dipercayai, selain pembangunan inovasi dan bakat melalui penyelidikan, perkongsian ilmu serta kerjasama teknikal.
Melalui kerjasama ini, NACSA, MCMC dan IBM menyasarkan untuk meningkatkan keupayaan Malaysia dalam teknologi sempadan, memperkukuh daya tahan digital negara serta mengangkat kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam bidang AI berdaulat, inovasi kuantum dan infrastruktur digital yang selamat.





