PONTIAN – Keprihatinan terhadap nasib golongan yang memerlukan terus menjadi keutamaan calon Pakatan Harapan (PH), Haniff Hosman apabila beliau turun menyantuni seorang bapa tunggal menerusi Program Ziarah Kasih di Taman Bahagia, Pontian.
Dalam kunjungan tersebut, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang itu menziarahi Loh Chean Ping atau lebih dikenali sebagai Patrick yang menetap di Lorong Mengkudu, Taman Bahagia.
Katanya, Patrick bukan sahaja membesarkan seorang anak secara bersendirian, malah turut memikul tanggungjawab menjaga dua orang bapa saudaranya yang telah berusia lebih 80 tahun.
“Kisah yang dilalui Patrick menggambarkan realiti kehidupan segelintir rakyat yang terpaksa menggalas pelbagai tanggungjawab dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar.
“Patrick bukan sahaja perlu memastikan keperluan anaknya terjaga, malah turut menguruskan kebajikan bapa saudaranya yang uzur. Dalam masa yang sama, beliau juga terpaksa berulang-alik dari Pontian ke Johor Bahru setiap hari demi mencari rezeki untuk keluarga,” katanya.
Haniff turut dimaklumkan bahawa bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang sebelum ini diterima oleh bapa saudara Patrick telah dihentikan, sekali gus menambahkan beban kewangan keluarga tersebut.
Sehubungan itu, Haniff berkata beliau akan berbincang dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung status bantuan tersebut serta meneliti sama ada terdapat ruang untuk tindakan susulan mengikut prosedur dan kelayakan yang ditetapkan.
“Saya akan berhubung dan berbincang dengan pihak JKM bagi memahami situasi sebenar serta melihat apakah bentuk bantuan atau penyelesaian yang boleh dipertimbangkan.
“Yang penting, setiap kes perlu dinilai secara adil agar mereka yang benar-benar memerlukan tidak tercicir daripada menerima bantuan,” katanya.
Menurut Haniff, Program Ziarah Kasih bukan sekadar memenuhi jadual kempen, sebaliknya menjadi platform untuk mendengar sendiri denyut nadi rakyat serta memahami cabaran sebenar yang dihadapi masyarakat.
Beliau menegaskan komitmennya untuk terus membawa suara rakyat Pulai Sebatang dengan menghubungkan setiap isu yang dibangkitkan kepada agensi berkaitan supaya penyelesaian dapat dicari secara berkesan.
“Setiap kunjungan memberi peluang untuk kita memahami kehidupan masyarakat dengan lebih dekat. Saya percaya kerjasama yang baik antara wakil rakyat, agensi kerajaan dan masyarakat amat penting bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara,” ujar Haniff.



