
SARATOK – Seorang suri rumah muda ditahan polis selepas dipercayai menyerang suaminya menggunakan sebilah gunting serta mengugut untuk membunuh mangsa dan anak mereka dalam satu kejadian di Kampung Kabong, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintenden Mathew Manggie berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sebelum sepasukan polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan suspek di rumahnya di Kabong.
“Suspek yang merupakan seorang wanita tempatan berusia 24 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah, manakala polis turut merampas sebilah gunting berukuran 18 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa yang juga suami kepada suspek, berusia 28 tahun dan bekerja sebagai buruh sawit, mendakwa isterinya datang ke rumah dalam keadaan mengamuk serta merosakkan beberapa barangan kerana mendesak supaya diceraikan.
“Apabila mangsa memaklumkan urusan perceraian perlu dilakukan mengikut saluran undang-undang melalui mahkamah, suspek dipercayai bertindak lebih agresif dengan mengambil sebilah gunting pakaian dan meluru ke arah mangsa untuk menyerangnya.
“Mangsa bagaimanapun sempat mengelak daripada terkena tikaman, namun mengalami kecederaan calar di bahagian tepi pinggang kiri,” katanya.

Tambah beliau, sebelum kejadian, suspek turut didakwa menghantar ugutan melalui aplikasi WhatsApp untuk membunuh mangsa serta anak mereka sekiranya permintaan untuk bercerai tidak dipenuhi.
“Hasil pemeriksaan di Klinik Kabong mengesahkan mangsa mengalami empat kesan calar di bahagian kiri pinggang tanpa pendarahan aktif,” jelasnya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau alat berbahaya serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
“Suspek telah ditahan bagi membantu siasatan dan kes kini dalam tindakan lanjut polis,” katanya.




