PONTIAN – Calon Pakatan Harapan (PH), Haniff Hosman meneruskan siri jelajah kempen dengan mengadakan program walkabout di Parit Hj Abdul Karim bagi menyantuni penduduk serta mendengar sendiri pelbagai isu yang dihadapi masyarakat setempat.
Menurut calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang, setiap kunjungan ke kawasan kampung memberi ruang yang amat bermakna untuk beliau mendekati rakyat, memahami denyut nadi kehidupan mereka serta mendapatkan gambaran sebenar mengenai keperluan dan harapan penduduk.
“Alhamdulillah, hari ini saya berkesempatan turun padang menyantuni penduduk Parit Hj Abdul Karim. Setiap pertemuan memberi peluang untuk saya mendengar sendiri rintihan, pandangan, cadangan dan harapan masyarakat.
“Insya-Allah, setiap suara yang disampaikan akan terus menjadi perhatian dalam usaha membawa pembangunan serta kebajikan yang lebih baik untuk DUN Pulai Sebatang,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan turun padang dan bertemu rakyat secara bersemuka merupakan antara komitmennya bagi memastikan setiap dasar dan perancangan yang dibawa kelak benar-benar berpaksikan keperluan masyarakat, bukannya sekadar janji ketika musim pilihan raya.
Dalam sesi walkabout tersebut, Haniff turut beramah mesra dengan penduduk pelbagai peringkat usia sambil bertukar pandangan mengenai isu kemudahan asas, pembangunan setempat serta kebajikan komuniti.
Menurut beliau, hubungan erat antara pemimpin dan masyarakat perlu sentiasa diperkukuhkan kerana ia menjadi asas penting dalam membina sebuah kawasan yang lebih maju, inklusif dan sejahtera.
“Saya amat menghargai sambutan yang begitu mesra daripada penduduk walaupun dalam suasana yang serba sederhana. Semoga silaturahim yang terjalin ini terus diperkukuhkan dan menjadi titik tolak kepada kerjasama yang lebih erat demi masa depan Pulai Sebatang,” katanya.
Haniff turut menyeru pengundi supaya bersama-sama memberi mandat kepada Pakatan Harapan bagi meneruskan agenda pembangunan yang mampan, sekali gus merealisasikan aspirasi ‘Johor Ke Depan. Undi HARAPAN.’
