
KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan bekalan petroleum dan bahan api negara kekal mencukupi serta berada pada tahap selamat bagi memenuhi keperluan domestik sepanjang tempoh Julai hingga Disember 2026.
Kementerian Ekonomi berkata, setakat Jun 2026, bekalan minyak dan bahan api negara masih terkawal hasil langkah proaktif yang dilaksanakan secara berperingkat sejak gangguan di Selat Hormuz bermula pada 28 Februari lalu.
Katanya, walaupun pasaran tenaga global terus berdepan ketidaktentuan, kerajaan akan terus memantau keadaan bagi memastikan bekalan dalam negara tidak terjejas.
“Harga minyak mentah Brent yang mencecah paras tertinggi AS$144.50 setong pada awal April 2026 telah menurun kepada AS$99.29 setong bagi tempoh 1 hingga 5 Jun 2026, sekali gus mencerminkan sentimen pasaran yang semakin positif susulan perkembangan rundingan damai.
“Bagaimanapun, kerajaan tidak memandang ringan situasi ini memandangkan kekangan bekalan fizikal dan penyusutan inventori minyak global masih wujud,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Jawapan itu diberikan bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) mengenai status keterjaminan bekalan minyak dan bahan api negara bagi tempoh Julai hingga Disember 2026, termasuk unjuran stok petroleum serta langkah mitigasi susulan konflik geopolitik global.
Kementerian menjelaskan sepanjang tempoh krisis, kerajaan kekal komited memastikan bekalan bahan api mencukupi, harga terus stabil dan rakyat tidak terbeban akibat ketidaktentuan pasaran dunia.
Katanya, keterjaminan bekalan disokong menerusi tiga strategi utama, iaitu mempelbagaikan sumber import petroleum, mengoptimumkan pengeluaran bahan api domestik melalui penggunaan biodiesel serta memperkukuh perjanjian bekalan jangka panjang yang telah dimeterai..
Selain itu, kerajaan turut memperhebat langkah mitigasi menerusi kawalan ketirisan, penguatkuasaan berterusan serta pemantauan bekalan menggunakan sistem berasaskan data bagi memastikan bekalan petroleum negara kekal stabil dan terjamin.





