
MERSING – Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Pusat Mengundi Awal Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing berlangsung dalam keadaan teratur dan lancar sejak dibuka seawal jam 8.00 pagi.
Seramai 326 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang layak mengundi di pusat berkenaan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi memilih wakil rakyat bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
Tinjauan mendapati anggota dan pegawai polis hadir secara berperingkat sejak awal pagi bagi mengambil peluang mengundi seawal mungkin untuk memastikan proses berjalan lancar sebelum kembali melaksanakan tugasan masing-masing.
Suasana di pusat pengundian juga terkawal dengan semua prosedur pengundian dipatuhi, sekali gus mencerminkan komitmen tinggi warga PDRM dalam menyokong kelancaran proses demokrasi dan memastikan perjalanan PRN Johor berlangsung dengan aman, teratur serta penuh tanggungjawab.






