
PUTRAJAYA – Kerajaan melancarkan inisiatif MediAsas sebagai langkah memperkukuh reformasi pembiayaan kesihatan negara bagi memastikan rakyat mendapat perlindungan kesihatan yang lebih mampu milik di tengah peningkatan kos rawatan perubatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kenaikan kos penjagaan kesihatan dan perubatan swasta tidak boleh terus membebankan rakyat, justeru pembaharuan struktur pembiayaan kesihatan perlu dilaksanakan secara menyeluruh.
Menurut beliau, inisiatif itu diperkenalkan di bawah kerangka RESET menerusi dua pelan insurans dan takaful perubatan.
“Kerangka RESET tersebu iaitu MediAsas Teras dan MediAsas Fleksi, yang menawarkan perlindungan sehingga usia 85 tahun dengan penyertaan dibuka sehingga umur 70 tahun.
“Pelaksanaan MediAsas bertujuan memastikan lebih ramai rakyat memperoleh akses kepada perlindungan kesihatan pada kos yang lebih munasabah,” katanya dalam satu kenyataan media.
Bagi memastikan pelaksanaan inisiatif itu berjalan berkesan, kerajaan turut menubuhkan Lembaga Tadbir Urus Bebas yang akan memantau pelaksanaan MediAsas, dengan program rintis dijadual bermula pada penghujung Julai sebelum diperluaskan ke seluruh negara menjelang Januari 2027.
“Kerajaan akan mempercepatkan peralihan kepada sistem penjagaan kesihatan berasaskan nilai (value-based care) melalui usaha pendigitalan sektor kesihatan serta memperkukuh ketelusan bil perubatan menerusi Rangkaian Pensijilan Kesihatan Digital Malaysia (MDHCN).
Dzulkefly berkata, langkah tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk membina sistem kesihatan yang lebih mampan, telus dan inklusif, sekali gus mengurangkan beban kos rawatan yang ditanggung rakyat.







