LABIS – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi N.05 DUN Tenang, Elia Nadira Sabudin menegaskan komitmennya untuk membawa pendekatan politik berteraskan nilai, pendidikan dan khidmat kepada rakyat sepanjang perjuangannya di kawasan Tenang.
Menurut beliau ketika menyampaikan kenyataan di Felda Chemplak, Labis, perjuangan dalam Parti Amanah Negara (AMANAH) telah membentuk kefahaman bahawa politik bukan sekadar medan persaingan kuasa, sebaliknya merupakan wadah untuk membina masyarakat yang lebih harmoni, berintegriti dan progresif.
Elia berkata, dalam AMANAH setiap anggota dididik mengamalkan politik nilai yang menjunjung integriti serta menolak budaya politik berasaskan caci-maki dan fitnah yang hanya merosakkan hubungan sesama masyarakat.
“Di dalam AMANAH, kita diajar untuk berpolitik dengan nilai. Politik bukan sekadar maki hamun, tetapi mesti berteraskan integriti dan akhlak yang baik,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa politik yang sebenar ialah politik yang mendidik rakyat, menggalakkan perpaduan serta bersama-sama membangunkan masyarakat tanpa menimbulkan ketakutan atau perpecahan.

“Politik seharusnya menjadi ruang untuk mendidik dan menyatukan masyarakat. Kita mahu bergerak bersama memajukan komuniti, bukannya menyemai kebencian atau memecah-belahkan rakyat demi kepentingan politik,” ujarnya.
Dalam masa sama, Elia menegaskan bahawa matlamat utama seseorang yang memilih jalan politik ialah untuk berkhidmat kepada rakyat, bukannya mengejar nama, kuasa mahupun keuntungan peribadi.
Beliau mengingatkan bahawa setiap amanah kepimpinan akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT, justeru beliau beriltizam untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan penuh keikhlasan sekiranya diberikan mandat oleh pengundi Tenang.
“Kerana nanti, di akhirat setiap kita akan dipersoalkan. Insya-Allah, saya akan cuba sedaya upaya membumikan idealisme AMANAH ini di Tenang demi memastikan rakyat mendapat pembelaan dan perkhidmatan yang terbaik,” katanya.
Beliau berharap pendekatan politik yang berpaksikan nilai, perpaduan dan khidmat itu mampu menjadi asas kepada pembinaan masa depan DUN Tenang yang lebih sejahtera selaras dengan aspirasi Pakatan Harapan untuk membawa Johor terus maju.




