
JOHOR BAHRU – Pengalaman lebih sedekad sebagai peguam menjadi antara kelebihan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai, Kartiyaini Jeyapalan, dalam memahami dasar kerajaan serta undang-undang untuk diterjemahkan kepada rakyat.
Beliau berkata, pengalaman itu membolehkannya meneliti setiap dasar secara menyeluruh sebelum menjelaskan pelaksanaannya kepada masyarakat agar mereka memahami manfaat yang ingin dicapai.
“Saya sudah lebih 10 tahun menjadi peguam. Pengalaman itu membantu saya memahami polisi, dasar dan undang-undang dengan lebih baik supaya saya dapat menerangkannya kepada rakyat secara jelas.
“Sebagai wakil rakyat, saya mahu memastikan setiap dasar yang dilaksanakan benar-benar difahami dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui selepas sesi Ceramah PH DUN Skudai, di sini, pada Isnin.
Kartiyaini berkata, integriti perlu menjadi asas kepada setiap wakil rakyat dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan pengundi.
Beliau berkata, setiap dasar yang ingin diperkenalkan perlu mengambil kira pandangan rakyat terlebih dahulu bagi memastikan ia benar-benar memenuhi keperluan masyarakat.
“Jika kita mahu menggubal sesuatu dasar, kita perlu mendengar suara rakyat terlebih dahulu. Kita tidak boleh membuat keputusan tanpa memahami keperluan mereka.
“Saya mahu menjadi wakil rakyat yang sentiasa mendengar, memahami dan membawa suara rakyat dalam setiap keputusan yang dibuat,” katanya.
Beliau turut menyifatkan persaingan di DUN Skudai sebagai mencabar, namun optimis dengan sambutan yang diterima sepanjang tempoh berkempen, termasuk daripada pengundi pelbagai kaum.
“Sambutan yang saya terima amat menggalakkan. Ramai penduduk berkongsi pandangan mengenai perkara yang boleh ditambah baik di Skudai dan memberikan sokongan moral kepada saya. Ia memberikan keyakinan untuk terus mendekati rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, Kartiyaini menyeru pengundi di Skudai dan seluruh Johor supaya keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian bagi memilih kerajaan negeri yang progresif serta mengutamakan kebajikan rakyat.
“11 Julai adalah hari yang penting buat rakyat Johor. Gunakan hak mengundi untuk menentukan masa depan negeri dan memilih sebuah kerajaan yang benar-benar berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Kerusi DUN Skudai menyaksikan saingan empat penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Nicol @ Ah Kee, calon PH, Kartiyaini Jeyapalan, calon Parti Bersama Malaysia (BERSAMA), Eugene Chua Meng Chong, serta calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Amir Syafiq Ameer Soekre.
Kerusi berkenaan sebelum ini disandang Marina Ibrahim daripada PH, namun beliau tidak mempertahankan penyandangannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Pada PRN Johor 2022, Marina memenangi kerusi DUN Skudai selepas meraih 26,359 undi dengan majoriti 13,943 undi dalam pertandingan tiga penjuru.



