
TAWAU – Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK) membawakan Festival Komuniti Havoc di Tawau dan Kota Kinabalu menerusi tayangan skrin besar sempena Piala Dunia FIFA 2026 bagi aksi perlawanan 16 terbaik sehingga ke final.
Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK) membawakan Festival Komuniti Havoc di Tawau dan Kota Kinabalu menerusi tayangan skrin besar sempena Piala Dunia FIFA 2026.
Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, ia bukan sahaja menarik kehadiran peminat sukan tetapi menjadi platform mengeratkan hubungan komuniti melalui aktiviti santai dan suasana meriah.
“Tayangan pertama akan diadakan di Arena Belia Tawau pada 8 Julai bermula jam 12 tengah malam membabitkan aksi pusingan 16 terbaik yang dijangka menemukan Argentina dan Mesir.
“Kemuncak festival akan berlangsung di Dewan Berbumbung Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu pada 19 Julai menerusi tayangan perlawanan penentuan tempat ketiga, diikuti tayangan final Piala Dunia pada awal pagi 20 Julai, “katanya dalam sidang media di Tawau.
Menurut Nizam, festival di Tawau bermula seawal pukul 4 petang pada 7 Julai dengan pelbagai pengisian termasuk pertandingan e-sukan FIFA, pertandingan domino, cabaran teka skor, kuiz interaktif, persembahan freestyle juggling, bicara santai bola sepak, cabutan bertuah, jamuan barbeku dan gerai jualan usahawan.
“Manakala di Kota Kinabalu pula akan menampilkan lima zon utama iaitu Sport Experience Zone, Community Hub Zone, Food Street Zone, Fan Experience Zone dan Havoc Community Zone.
“Antara aktiviti yang disediakan ialah cabaran sepakan penalti, pertandingan Mobile Legends dan PUBG Mobile, sesi bertemu pemain Sabah FC, persembahan busking, pameran agensi kerajaan, jualan Rahmah, ‘food truck’ , podcast sukan, pertandingan teka gol dan cabutan hadiah.
“Kita mahu rakyat Sabah merasai sendiri aura Piala Dunia seolah-olah berada di stadium di Amerika Syarikat, Mexico atau Kanada sambil menyokong pembangunan sukan dan ekonomi komuniti di negeri ini,”ujarnya.
Jelas Nizam yang juga ADUN Apas, penganjuran festival itu turut menyokong agenda kerajaan Sabah dalam menjadikan sukan sebagai pemacu ekonomi kreatif dan pelancongan.
Katanya, selain menyemarakkan semangat kesukanan, ia membuka peluang kepada usahawan belia menjana pendapatan serta menggalakkan penglibatan komuniti dalam pelbagai aktiviti.
“Kita mengambil peluang sempena demam Piala Dunia FIFA 2026 untuk menghimpunkan masyarakat dalam suasana yang sihat dan harmoni,” tambahnya.






