MUAR – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan calon Pakatan Harapan (PH), Dr Maszlee Malik dipelawa untuk mengadakan dialog secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM) TV1 bagi membincangkan hala tuju negeri menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sekiranya istilah debat menjadi kekangan, program itu boleh diadakan dalam bentuk dialog yang lebih beradab dan memberi ruang kepada kedua-dua pihak menjelaskan perancangan masing-masing kepada rakyat.
Beliau percaya Onn Hafiz bukan seorang pemimpin yang suka ‘berdrama Hollywood’ dan berani untuk menyahut cabaran Maszlee yang juga calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
“Saya sedia menyediakan pentas di RTM TV1 untuk Dr Maszlee (calon PH Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa) dan Datuk Onn Hafiz berdebat. Ataupun kalau tidak mahu berdebat, kita berdialog. Kita boleh berdialog dengan beradab.
“Kita letakkan masa 9 malam dan kita boleh pilih bila-bila masa, hari yang mana pun. Kita boleh mengusahakannya di Johor Bahru atau di mana-mana lokasi yang sesuai. Kita boleh namakan program itu sebagai Dialog Hala Tuju Negeri Johor,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Makan Malam Amal, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Fahmi menilai kenyataaj Khairy seolah-olah cuba ‘mengaburi mata’ dan mahu menyelamatkan maruah Onn Hafiz kerana menyedari Menteri Besar Johor berkenaan sebenarnya tidak berani untuk berdebat.
Disebabkan itu juga, beliau yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Maszlee sebelum ini terpaksa membuka peluang kepada 41 anak muda untuk berdebat dengan beliau selepas Onn Hafiz dilihat seolah-olah cuba mengelak.
“Onn Hafiz saya tengok, banyak benda dia tak berani lah. Dia tak berani untuk berdepan apabila dijemput dengan baik oleh Maszlee sehinggakan Maszlee membuka peluang kepada 41 anak muda untuk berdebat dengan beliau.
“Jadi saya rasa, untuk menjadi seorang calon Menteri Besar, harus bersedia untuk berdepan bukan hanya dengan media dan penyokong-penyokongnya, tapi juga dengan pihak yang mungkin berlainan pandangan atau pendapat dengannya,” katanya.
Sebelum ini, Maszlee menyatakan kesediaan untuk bersemuka dan berdebat dengan mana-mana pihak, terutama Onn Hafiz bagi membentangkan visi serta membela nasib keseluruhan rakyat yang diwakili oleh PH.



