KAPTEN England, Harry Kane, muncul wira apabila meledak dua gol untuk membantu pasukannya bangkit menewaskan Republik Demokratik (DR) Congo 2-1 sekali gus mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia.
Kane menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-86 selepas terlebih dahulu menyamakan kedudukan pada minit ke-75.
Penyerang berusia 32 tahun itu bijak melepaskan diri daripada kawalan pemain lawan sebelum menanduk masuk hantaran silang Anthony Gordon.
DR Congo terlebih dahulu mengejutkan England apabila Brian Cipenga meledak gol pembukaan seawal minit ketujuh.
Pemain sayap itu yang tidak dikawal menerima bola di dalam kotak penalti sebelum melepaskan rembatan rendah kaki kanan yang menewaskan penjaga gol England, Jordan Pickford.
Penjaga gol DR Congo, Lionel Mpasi, turut cemerlang apabila menafikan beberapa peluang terbaik England termasuk percubaan Jude Bellingham dan Kane.
Aaron Wan-Bissaka pula bertindak pantas menghalang percubaan Marcus Rashford yang hampir menghasilkan gol.
Yoane Wissa hampir menggandakan kelebihan DR Congo, namun percubaannya dari dalam kawasan enam ela sekadar menggegar tiang.
England berjaya mengelak kejutan apabila Kane memastikan kemenangan yang membawa mereka ke pusingan 16 terbaik.
Skuad kendalian Thomas Tuchel itu akan berdepan Mexico pada aksi pusingan 16 terbaik di Stadium Azteca, Isnin ini.







