
BATU PAHAT – Dakwaan pembayaran peruntukan Program Semarak Subuh Johor kepada beberapa masjid di Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang hanya diselesaikan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu diberi perhatian dan disemak, kata Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar.
Beliau yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Senggarang berkata, walaupun belum menerima aduan rasmi berhubung perkara itu, sebarang urusan membabitkan institusi masjid tidak sepatutnya ditangguhkan tanpa alasan yang munasabah kerana membabitkan institusi agama yang berperanan besar dalam masyarakat.
“Saya belum menerima aduan itu, tetapi jika benar berlaku kelewatan pembayaran seperti didakwa, perkara itu akan saya semak. Ini melibatkan masjid dan program keagamaan, jadi tidak sepatutnya berlaku kelewatan.
“Tak patutlah perkara seperti ini berlaku. Kalau memang ada hutang kepada masjid, bayarlah (pada waktu yang dijanjikan). Kasihan kepada pihak masjid yang sudah melaksanakan program,” katanya kepada media selepas ceramah Jelajah Johor ke depan undi Harapan di pekarangan pekan Senggarang, pada Rabu.
Dalam pada itu, Onn berkata, sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat DUN Senggarang pada PRN Johor, isu berkaitan kelewatan pembayaran seperti itu akan dibawa kepada pihak berkaitan bagi memastikan perkara sama tidak berulang.

Beliau menggesa mana-mana pihak masjid yang mempunyai maklumat tampil mengemukakan aduan secara rasmi kepada pihaknya agar penelitian secara terperinci dan holistik mampu dilakukan dalam memperbaiki kelompangan yang berlaku.
“Isu ini saya (ambil maklum), saya minta mereka yang terlibat tampil ke hadapan supaya perkara ini dapat disemak dengan lebih terperinci dalam memastikania diselesaikan mengikut saluran sewajarnya.
“InsyaAllah, jika saya menang, saya akan membawa perkara ini kepada pihak berkenaan. Jika benar ada bayaran yang masih tertunggak, hutang itu perlulah dijelaskan,” katanya.
Terdahulu, The Malaysia Press (TMP) difahamkan beberapa masjid di sekitar DUN Senggarang yang telah melaksanakan Program Semarak Subuh Johor yang dilaksanakan pada 2025 hanya dijelaskan apabila Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin hampir.
Program Semarak Subuh Johor merupakan inisiatif kerajaan negeri yang dilaksanakan di masjid seluruh Johor bagi menggalakkan kehadiran jemaah pada solat Subuh menerusi pengisian keagamaan serta aktiviti kemasyarakatan.
Bagi menjayakan program itu, pihak masjid lazimnya menguruskan sendiri penyediaan makanan, jamuan dan keperluan logistik sebelum mengemukakan tuntutan kepada pihak berkaitan untuk proses pembayaran.






