
KOTA KINABALU – Polis memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang sepanjang penganjuran Perhimpunan Aman “Gempur Rasuah 3.0” dan “Bangkit Sabahan 2.0” yang dijadual berlangsung di sekitar bandar raya ini pada 4 dan 5 Julai depan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya mengambil maklum hebahan di media sosial berhubung penganjuran kedua-dua perhimpunan berkenaan.
“Setakat ini, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu hanya menerima satu notis pemakluman daripada penganjur “Bangkit Sabahan 2.0”, manakala tiada sebarang notis diterima daripada pihak penganjur “Gempur Rasuah 3.0”.
“Pihak penganjur diingatkan supaya tiada sebarang pelanggaran undang-undang berlaku sepanjang perhimpunan termasuk penyebaran kenyataan atau tindakan yang menyentuh isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja), unsur hasutan, provokasi atau apa-apa perbuatan yang boleh mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya.
Menurut Syed Lot, polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Katanya, setiap penganjur diwajibkan mengemukakan notis pemakluman kepada Ketua Polis Daerah yang mempunyai bidang kuasa di lokasi perhimpunan sebelum sesuatu perhimpunan diadakan.
“Selain itu, penganjur perlu bertanggungjawab memastikan program berlangsung secara aman tanpa menjejaskan ketenteraman awam, keselamatan orang ramai serta kelancaran aliran trafik,” ujarnya.
Dalam pada itu, tambahnya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyertai mana-mana perhimpunan yang boleh mengganggu pergerakan pengguna jalan raya serta menjejaskan kelancaran aktiviti harian di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.






