KENYATAAN Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa matlamat Pas dalam Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 (PRN Johor) adalah untuk memastikan Johor diterajui oleh orang Melayu Islam menunjukkan parti itu sekali lagi bermain dengan sentimen sedangkan keperluan rakyat Johor adalah memastikan pembangunan yang berterusan di negeri Johor.
Menurut Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil berkata, kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pula pada yang sama menggesa ahli Pas untuk mengundi BN dalam PRN Johor di kerusi yang tidak ditandingi PN memberikan isyarat bahawa Pas sedang menagih tempat di dalam kerajaan negeri Johor sekiranya BN menang.
Katanya, isyarat ini menunjukkan konflik halatuju dalam Pas dan ia sangat bahaya kepada rakyat Johor kerana bakal mewujudkan ketidakstabilan dalam pentadbiran Johor.
“Ini adalah kerana Pas memang dikenali sebagai parti yang menjadi punca kepada ketidakstabilan politik dalam negara. Kali ini dalam PRN Johor, Pas cuba mencatur kuasa sekali lagi. Pas terlibat memulakan Langkah Sheraton dan sekarang gagal menguruskan PN dengan baik apabila berpecah dengan Bersatu tetapi masih bersama Bersatu dalam koalisi PN.
“Ironinya, Pas mengumumkan juga untuk tidak membantu Bersatu dalam PRN Johor ini. Ini bermakna Pas bersama Bersatu di siang hari, tetapi bersama UMNO pula di waktu malam,” katanya.
Menurut Muhammad Faiz lagi, ketidaktentuan halatuju Pas ini juga menujukkan Pas hanya mengutamakan kuasa berbanding prinsip.
Jika benar Pas memperjuangkan penyatuan umat, kenapa diceraikan Bersatu dan memilih UMNO, sedangkan sebelum ini memilih Bersatu dan meninggalkan UMNO.
” Apa yang diutamakan Pas adalah kuasa dan bukan prinsip. Berkawan demi kuasa di mana dalil agama boleh direka bagi menghalalkan matlamat.
” Jelas, Pas kemaruk kuasa, sedangkan Pas gagal membentangkan polisi ekonomi yang tuntas untuk membangunkan Johor,” ujarnya.
Tambahnya lagi, kegagalan pentadbiran Pas di negeri SG4 jangan diizinkan berjangkit ke negeri Johor.
Di samping itu, kenyataan bekas Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bahawa undi masyarakat Cina sangat penting untuk menghalang Pas menawan Putrajaya menunjukkan kebimbangan parti itu kepada nafsu politik Pas.
” Sikap ekstremisme Pas yang tidak sesuai kepada peta politik dan struktur sosial Malaysia ditolak oleh MCA.
“Kesannya, ia boleh mewujudkan ketidakstabilan dalam pentadbiran kerajaan kerana Pas akan cuba mencari ruang untuk bersama UMNO yang bakal meruntuhkan persefehaman BN,” ujarnya.
Menurut Faiz lagi, ketidakstabilan politik boleh membawa kepada kelemahan pentadbiran kerajaan.
“Keadaan ini hampir sama dengan sebuah parti di Itali iaitu Five Star Movement. Parti ini sering bertukar gabungan terutamanya dalam tempoh pemerintahannya pada 2018-2021.
“Walaupun parti ini pernah mendapat sokongan besar daripada rakyat Itali terutamanya pada 2018, namun akibat gabungan yang sering bertukar dan krisis dalaman, kerajaan tidak dapat berfungsi dengan baik yang mengakibatkan kemerosotan ekonomi di Itali dan parti ini kemudiannya mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum Itali tahun 2022,” katanya.
Menurutnya lagi, dalam keadaan rakyat Johor memerlukan pembangunan berterusan, peluang kepada PH untuk mentadbir Johor perlu diberikan oleh rakyat Johor dalam PRN kali ini.
Ini adalah kerana pembangunan yang mampan bergantung kepada kestabilan politik.
Hakikatnya, PH telah membuktikan kemampuan mengekalkan kestabilan dalam politik dan pentadbiran negara.
“Malahan, keprihatinan Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada rakyat negeri Johor terbukti dengan peruntukan hampir RM15 bilion untuk projek mega seperti Landasan Berkembar Elektrik Johor Bharu-Gemas, Perkhidmatan Shuttle Selatan dan RTS Link.
“Ini tidak lagi termasuk projek-projek lain seperti Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) yang telah diluluskan oleh Kerajaan MADANI dan dijangka menelan kos RM10 bilion,” ujarnya.





